TEHRAN,17 MAC – Ketua Hakim Iran, Gholamhossein Mohseni-Ejei mengecam sekeras-kerasnya serangan maut Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) ke atas kapal pemusnah Dena dan menyifatkannya sebagai pencabulan mutlak ke atas konvensyen antarabangsa.
Tehran kini berikrar untuk mengheret insiden yang berlaku di perairan luar pantai Sri Lanka itu ke pengadilan antarabangsa. Serangan tersebut disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang maritim global memandangkan kapal berkenaan diserang ketika berada di perairan antarabangsa.
Mohseni-Ejei menegaskan bahawa perairan Lautan Hindi kini diwarnai dengan darah kelasi muda Iran yang menjadi mangsa serangan tidak adil pihak musuh.
Beliau menjelaskan bahawa kapal perang IRINS DENA ditenggelamkan ketika dalam pelayaran pulang selepas menyertai eksesais tentera laut pelbagai negara. Penyertaan tersebut adalah atas jemputan rasmi daripada kerajaan India.
“Kami pasti dan secara serius akan membawa jenayah kejam ini ke mahkamah antarabangsa.
“Ini termasuk serangan ke atas sekolah dan kawasan perumahan Minab, serta pembunuhan Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei dan komander tertinggi tentera,” jelas beliau dalam satu laporan media rasmi Iran pada Isnin.
Menurut beliau, kerajaan Iran komited untuk mendakwa AS berhubung jenayah perang yang dilakukan, terutamanya pembunuhan kelasi Iran yang sedang berkhidmat jauh dari tanah air mereka.
Mohseni-Ejei turut menyifatkan tragedi maritim itu sebagai satu tindakan pengecut oleh elemen pengganas AS terhadap aset ketenteraan yang mematuhi undang-undang pelayaran antarabangsa. – airtimes.my
