KUALA LUMPUR, 11 MAC – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melaksanakan Majlis Bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Tahun 2026 sebagai langkah memperkukuh budaya integriti, tadbir urus, dan tatakelola yang telus dalam organisasi pertahanan negara.
Majlis yang berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan itu disertai oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman. Beliau turut menandatangani Sijil Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen kepimpinan tertinggi bagi memastikan organisasi itu terus bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
Pelaksanaan IBR pada tahun ini merupakan inisiatif pertama di bawah kepimpinan beliau sejak mengambil alih tampuk pemerintahan ATM. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Unit Integriti Kementerian Pertahanan, Ramli Hassan.
“Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah merupakan manifestasi komitmen bersama seluruh warga ATM untuk memastikan rasuah tidak sesekali bertapak dalam organisasi,” tegas Jeneral Datuk Malek Razak menerusi Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24.
Pelaksanaan inisiatif tersebut secara langsung menyokong Tonggak Kedua Perintah Ulung beliau iaitu ‘Tatakelola Tuntas, Integriti Terpelihara’. Tonggak berkenaan menekankan kepentingan sistem tadbir urus bagi menjamin ketelusan setiap proses pentadbiran serta memupuk budaya kerja berintegriti dalam kalangan warga pertahanan.
Seramai kira-kira 400 warga ATM yang berkhidmat di sekitar Lembah Klang hadir menjayakan majlis tersebut. Bacaan ikrar diketuai oleh tiga wakil daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjadi simbol kesatuan ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam mendukung agenda integriti.
IBR merupakan satu inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggalakkan kepimpinan serta warga organisasi menyatakan komitmen secara terbuka dalam usaha membanteras rasuah.
Pendekatan pencegahan menyeluruh ini bertujuan memastikan warga perkhidmatan memegang teguh prinsip amanah dan disiplin dalam mempertahan kedaulatan negara, sekali gus mengekalkan kedudukan ATM sebagai institusi profesional yang dipercayai rakyat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris ; dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Muhammad Huzaimi Sabri. – airtimes.my

