KUANTAN, 24 MEI – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah agar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapatkan perkenan Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan atau eksesais ketenteraan di Negeri Pahang.
Titah itu dizahirkan dalam kenyataan media berkaitan aktiviti ketenteraan di pulau-pulau dalam kawasan Negeri Pahang yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.
Titah itu juga turut ditujukan kepada semua jabatan serta agensi berkaitan.
Menurut kenyataan itu, Tengku Hassanal mengambil berat terhadap aktiviti latihan ketenteraan ATM yang hendak dilaksanakan terutama di kawasan kepulauan di negeri berkenaan.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti ketenteraan tersebut boleh menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna Negeri Pahang sekiranya tidak dilaksanakan secara terkawal.
“Baginda tidak menolak aktiviti ketenteraan bagi meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pegawai dan anggota tentera, namun aktiviti ketenteraan tersebut mestilah dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal serta bertanggungjawab, selamat dan harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama memaklumkan, semua pihak mesti mematuhi dan menjunjung titah berkenaan bagi memastikan sebarang aktiviti ketenteraan di Pahang dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tengku Hassanal turut menitahkan supaya ATM serta jabatan dan agensi berkaitan menyembah maklum perkara itu sebelum sebarang latihan atau eksesais dilaksanakan di negeri tersebut.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Baginda tidak akan teragak-agak meminta Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prosedur yang berlaku. – airtimes.my


































