Dunia hari ini tidak lagi hanya berhadapan dengan ancaman konvensional seperti pertembungan aset ketenteraan di medan perang yang nyata. Sebaliknya, landskap keselamatan global kini telah beralih daripada ancaman tradisional kepada ancaman asimetrik yang sukar diramal serta memerlukan kesiapsiagaan nasional yang total.
Ancaman ini tidak mengenal sempadan geografi, ideologi, mahupun kedaulatan, sekali gus menuntut anjakan paradigma dalam cara kita menguruskan pertahanan nasional dan antarabangsa.
Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 yang berlangsung baru-baru ini kembali menjadi saksi kepada perhimpunan para pakar, pemain industri, dan delegasi dari seluruh dunia. Namun, di sebalik kemeriahan aset maritim dan sistem persenjataan canggih, terdapat satu naratif kritikal yang dipersembahkan sebagai keutamaan nasional iaitu ancaman Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear, dan Bahan Letupan (CBRNE).
Evolusi Ancaman: Dari Medan Perang ke Ruang Awam

Evolusi ancaman moden telah menyaksikan ejen CBRNE berubah daripada senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang dikawal oleh negara, kepada instrumen keganasan yang boleh diakses oleh aktor bukan negara (non-state actors).
Ancaman CBRNE bukan lagi sekadar isu terpencil atau plot dalam filem fiksyen sains. Ia adalah realiti keselamatan yang mampu membawa kesan meluas merentasi pelbagai dimensi kehidupan. Ia bersifat tidak seimbang, kelompok kecil dengan sumber terhad mampu melumpuhkan sebuah negara besar melalui serangan biologi atau sabotaj bahan kimia.
Secara fizikal, serangan atau insiden CBRNE mengakibatkan kemusnahan nyawa dan infrastruktur yang tragis. Namun, kesan psikologi selalunya lebih mendalam, ia mencetuskan trauma dan ketakutan massa yang mampu meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta merosakkan fabrik keharmonisan masyarakat.
Dari sudut ekonomi, satu insiden kecil mampu melumpuhkan rantaian bekalan global dan pasaran saham dalam sekelip mata, malah menuntut kos pemulihan yang sangat tinggi. Selain itu, impak terhadap alam sekitar yang ditinggalkan sering kali bersifat kekal, menjejaskan ekosistem bagi tempoh masa yang lama.
Oleh itu, kekuatan sesebuah negara hari ini tidak lagi diukur melalui keupayaan agensi secara individu, tetapi melalui sejauh mana agensi-agensi ini mampu bekerjasama ketika masa amat terhad dan risiko berada pada tahap tertinggi.
Teknologi Canggih: Antara Perisai dan Pedang
Dunia kini berada di persimpangan revolusi teknologi yang berkembang pesat. Teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik, sistem tanpa pemandu, sensor canggih, dan analitik data kesihatan meningkatkan keupayaan kita dalam pengesanan awal dan tindak balas pantas.
Sebagai contoh, penggunaan dron tanpa pemandu (UAV) yang dilengkapi sensor kimia membolehkan pemantauan kawasan berisiko tanpa membahayakan nyawa anggota penyelamat. Inovasi ini meningkatkan keupayaan identifikasi ejen berbahaya, dan mempercepatkan proses membuat keputusan yang tepat semasa krisis.
Walau bagaimanapun, kita harus mengakui hakikat bahawa teknologi ini adalah “pedang bermata dua”. Keupayaan yang sama, jika jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab, membolehkan mereka mempersenjatakan teknologi tersebut untuk merangka struktur molekul toksin baharu yang lebih berbahaya.
Persoalan utama bagi komuniti pertahanan hari ini bukan lagi sejauh mana hebatnya teknologi itu, tetapi sama ada kita bergerak pantas untuk memahami, mengawal selia, dan mengintegrasikannya secara bertanggungjawab bagi mengelakkan kemerosotan keselamatan nasional.
Melangkaui Sektor Pertahanan: Kolaborasi Merentas Sektor

Pengurusan CBRNE tidak lagi digalas secara sendiri oleh sektor pertahanan dan keselamatan. Walaupun pihak tentera dan polis mempunyai disiplin perancangan, kepakaran khusus, dan mobiliti yang tinggi dalam keadaan tidak menentu, mereka memerlukan sokongan daripada ekosistem yang lebih luas.
Ini melibatkan penglibatan aktif saintis untuk analisis bahan, profesional perubatan untuk rawatan mangsa, serta agensi penguatkuasaan dan kawal selia. Paling penting, kaitan antara penyelidikan, industri, dan keselamatan harus diperkukuh.
Industri bukan sekadar pembekal perkakasan, tetapi rakan strategik dalam membangunkan penyelesaian tempatan yang mampan. Kepercayaan dan koordinasi antara semua pihak ini adalah “mata wang” paling berharga dalam memastikan tindak balas yang efektif.
Diplomasi Pertahanan: Kerjasama Tanpa Sempadan

Ancaman CBRNE tidak mengenal sempadan geografi, begitu juga kesannya. Maka di sinilah Diplomasi Pertahanan memainkan peranan penting dan menjadi satu keperluan, bukan lagi pilihan. Ia bukan sekadar tentang protokol diplomatik, tetapi tentang membina jambatan teknikal dan operasi antara negara.
Dua elemen utama dalam diplomasi ini, iaitu Latihan Bersama (Joint Exercises) dan perkongsian maklumat. Ia merupakan instrumen utama dalam menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) serta menguji interoperabiliti antara negara bagi memastikan bantuan diselaraskan dengan pantas sekiranya berlaku krisis merentas sempadan.
Selain itu, perkongsian data perisikan kesihatan dan keselamatan di peringkat global membolehkan amaran awal dikeluarkan sebelum sesuatu ancaman menjadi pandemik atau krisis serantau. Ini membolehkan negara-negara bersedia lebih awal sebelum ancaman sampai ke pintu sempadan mereka.
Kesiapsiagaan Sebagai Budaya Strategik

Kejayaan dalam mendepani ancaman CBRNE tidak diukur melalui retorik di meja rundingan atau penampilan kecanggihan di pameran senjata semata-mata. Sebaliknya, ia diukur melalui sejauh mana dasar negara benar-benar bersedia.
DSA 2026 bukan sekadar pameran perdagangan, tetapi harus menjadi pemangkin kepada tindakan sebenar dan medan bagi memperkukuh persahabatan strategik. Kesiapsiagaan CBRNE adalah tentang mempertahankan kedaulatan negara, melindungi rakyat, dan mengekalkan kestabilan ekonomi.
Dengan integrasi teknologi yang bijak, kolaborasi agensi yang bersepadu, serta kerjasama antarabangsa yang erat, kita mampu memastikan negara tidak terperangkap tanpa persediaan apabila ancaman sebenar berlaku. Melindungi rakyat adalah amanah yang memerlukan bukan sekadar keberanian, tetapi kebijaksanaan dalam berkolaborasi. -airtimes.my
