Bayangkan kuasa besar ketenteraan dunia yang memiliki jet halimunan, peluru berpandu jarak jauh dan rangkaian satelit global mula memberi perhatian serius kepada strategi dron murah Iran.
Itulah yang menjadikan LUCAS (Low-cost Uncrewed Combat Attack System) menarik untuk diperhatikan. Sistem serangan tanpa pemandu kos rendah Amerika Syarikat ini sering dibincangkan bersama Shahed-136, bukan kerana kedua-duanya semestinya sama dari segi teknologi, tetapi kerana kedua-duanya membawa satu pengajaran penting.
Dalam perang moden, aset yang murah, banyak dan cepat dihasilkan boleh memberi kesan strategik yang tidak boleh dipandang ringan. Langkah ini bukan sahaja mengubah doktrin peperangan, malah membuktikan bahawa dalam era moden, kos yang efektif dan inovasi yang pantas adakalanya jauh lebih penting daripada teknologi yang terlalu kompleks.
Satu reka bentuk dua ideologi bertentangan
Apabila melihat kepada bentuk fizikal LUCAS atau nama teknikalnya FLM-136, masyarakat dan pemerhati dunia pertahanan pasti akan mengalami situasi dejavu kerana reka bentuk sayap delta triangular dron ini hampir serupa dengan dron Shahed-136 milik Iran.
Perkara ini mula berlaku apabila langkah yang diambil oleh firma SpektreWorks yang berpangkalan di Arizona ini memintas fasa penyelidikan aerodinamik yang kebiasaannya memakan masa bertahun-tahun dan menelan belanja yang besar.
Selain itu, keputusan Amerika Syarikat memilih untuk tidak mencipta sesuatu dari awal, sebaliknya mereka mengambil reka bentuk asas Iran yang sudah terbukti berkesan dalam menembus sistem pertahanan udara di pelbagai zon konflik juga menjadi faktor terhasilnya dron LUCAS.
Walaupun rupa luaran kedua-dua dron ini kelihatan seperti kembar, falsafah reka bentuk dalaman mereka sebenarnya mencerminkan dua ideologi yang sangat berbeza. Shahed-136 milik Iran dibina sebagai sebuah instrumen yang ringkas dan keras di mana ia dilancarkan dengan koordinat tempatan yang tetap dan terbang tanpa keupayaan untuk mengubah arah di pertengahan jalan.
Sebaliknya, Amerika Syarikat menyuntik kepakaran perisian mereka ke dalam struktur LUCAS dengan memuatkan sistem komunikasi berangkaian taktikal serta kecerdasan buatan.

Bangkai aset ketenteraan yang dirampas bukan sekadar sisa perang, tetapi boleh menjadi sumber risikan teknikal yang membuka ruang baharu kepada pihak lawan dalam pembangunan teknologi pertahanan. Foto Hiasan: Reddit
Evolusi daripada sasaran latihan menjadi senjata pemusnah
Beberapa tahun sebelum 2025, Amerika berjaya mengumpul serpihan dron Shahed-136 yang dirampas di Timur Tengah untuk dibongkar oleh kontraktor pertahanan. Matlamat asalnya hanyalah untuk membina dron sasaran bagi melatih sistem pertahanan udara mereka menghadapi ancaman sebenar.
Namun, melihat impak besar dron murah ini, Pentagon menyedari fungsinya boleh dikembangkan sebagai senjata serangan utama. Prototaip rasminya kemudian diuji cuba oleh pihak Tentera Darat Amerika Syarikat bagi mengesahkan sistem serangan sehala ini di Yuma Proving Ground di bawah tajaan Kor Marin Amerika Syarikat.
Ujian ini pula didorong oleh keperluan mendesak Amerika untuk memiliki sistem persenjataan yang murah, pantas dibina, dan boleh dikeluarkan dalam jumlah yang besar. Transformasi daripada alat latihan kepada senjata utama ini menunjukkan betapa Pentagon sanggup melonggarkan birokrasi demi mengejar dinamik perang moden.
Walaupun tidak meninggalkan sistem canggih, Amerika Syarikat kini mula menerima hakikat bahawa perang berintensiti tinggi memerlukan lapisan kemampuan yang murah dan mudah diganti. Dalam situasi tempur tertentu, aset yang boleh dikorbankan kini menjadi sama penting dengan aset yang mahal.
Suntikan minda barat dalam jasad buatan timur
Dari segi keupayaan operasi, perbezaan paling ketara antara kedua-dua platform ini terletak pada aspek navigasi dan sistem komunikasi yang digunakan. Shahed-136 sangat bergantung kepada sistem navigasi inersia asas dan isyarat satelit komersial awam yang menyebabkan ia sangat terdedah kepada taktik gangguan elektronik atau jamming.
Hal ini bermakna, jika pihak musuh berjaya mengganggu isyarat tersebut, dron Iran ini berpotensi besar untuk tersasar jauh daripada sasaran asal yang telah ditetapkan sebelum pelancaran.
Namun, bagi LUCAS pula dibangunkan dalam ekosistem Amerika Syarikat yang mempunyai kelebihan dari segi perisian, ujian sistem, rangkaian komunikasi dan operasi bersama. Selain itu, beberapa laporan media pertahanan menilai LUCAS mungkin mempunyai ciri komunikasi dan kawalan yang lebih maju berbanding dron Shahed, termasuk kemungkinan operasi berangkaian.
Keupayaan ini membolehkan sekumpulan dron LUCAS bertindak secara kolektif menggunakan taktik kumpulan atau swarm intelligence untuk mengelirukan radar musuh dengan lebih efisien.

LUCAS mencerminkan perubahan perang moden, apabila dron murah dan mudah diganti menjadi pelengkap kepada sistem ketenteraan yang lebih canggih. Foto: U.S. Army
Cabaran sistem pertahanan udara menghadapi ancaman berkos rendah
Kehadiran program LUCAS mencerminkan peralihan strategik Amerika Syarikat dalam mendepani cabaran doktrin pertahanan konvensional. Sebelum ini, Amerika Syarikat bersama-sama sekutunya berhadapan dengan kekangan operasi apabila terpaksa menggunakan peluru berpandu pertahanan udara bernilai jutaan dolar bagi menembak jatuh dron komersial atau dron serangan sehala yang dianggarkan hanya berharga sekitar 20,000 dolar.
Aspek ekonomi pertahanan sedemikian dinilai tidak mampan untuk tempoh jangka panjang kerana berisiko mengurangkan inventori peluru berpandu strategik negara dengan kadar yang cepat.
Melalui sasaran kos pengeluaran LUCAS sekitar 35,000 dolar seunit, Amerika Syarikat kini memiliki alternatif untuk mengimbangi asimetri kos tersebut di medan tempur. Pengoperasian awal sistem ini oleh US CENTCOM menerusi Task Force Scorpion Strike di Timur Tengah menunjukkan kesediaan aset berkenaan untuk diintegrasikan ke dalam misi sebenar.
Pengenalan platform berkos rendah ini secara langsung membolehkan angkatan tentera melaksanakan operasi serangan udara secara lebih efektif tanpa perlu menanggung implikasi kerugian kewangan yang tinggi sekiranya pesawat tersebut dimusnahkan oleh pihak musuh.
Langkah pragmatik dalam mencorakkan masa depan pertahanan
Pendekatan kejuruteraan balikan yang diterapkan dalam pembangunan dron LUCAS mempamerkan anjakan paradigma yang signifikan dalam kaedah perolehan teknologi ketenteraan moden.
Langkah sebuah kuasa besar mengadaptasi konsep reka bentuk luaran daripada negara rantaian bekalan yang lebih kecil menunjukkan keutamaan kini diberikan kepada aspek pragmatisme berbanding pemikiran konvensional. Perkembangan ini membuktikan bahawa kecekapan kos dan keberkesanan di medan tempur menjadi faktor penentu utama yang mengatasi kepentingan prestij teknologi semata-mata.
Perkembangan ini meninggalkan satu persoalan besar bagi masa depan industri pertahanan global mengenai hala tuju pembangunan teknologi senjata generasi akan datang. Adakah perlumbaan senjata pasca 2026 ini akan terus didominasi oleh aset-aset canggih yang mahal, atau adakah ia akan ditentukan oleh kepantasan sesebuah negara mengadaptasi dan menghasilkan senjata murah secara besar-besaran?
Apa yang pasti, kehadiran LUCAS telah menetapkan satu piawaian baharu di mana pemenang dalam peperangan moden mungkin bukan lagi pihak yang mempunyai senjata paling canggih, melainkan pihak yang paling bijak menguruskan kos operasi mereka.-airtimes.my





















