Persoalan sama ada Malaysia perlu kembali kepada Exocet atau memilih ATMACA selepas isu Naval Strike Missile (NSM) tidak boleh dijawab dengan mudah. Ini bukan sekadar pemilihan peluru berpandu anti-kapal. Ia melibatkan persoalan yang lebih besar tentang risiko perolehan, kedaulatan teknologi, integrasi sistem, dan masa depan industri pertahanan negara.
Isu NSM menjadi pengajaran penting kerana Malaysia tidak berdepan masalah teknikal biasa. Norway telah membatalkan lesen eksport berkaitan sistem peluru berpandu itu untuk Malaysia, dengan alasan kawalan yang lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif. Keputusan itu memberi kesan kepada sistem NSM yang dirancang untuk program Littoral Combat Ship (LCS), manakala Malaysia dilaporkan telah membayar sebahagian besar nilai kontrak dan sedang meneliti tindakan undang-undang serta tuntutan pampasan.
Pengajaran utama daripada isu ini ialah Malaysia tidak boleh lagi menilai perolehan pertahanan sebagai proses membeli sistem, menunggu penghantaran, dan menganggap keupayaan akan terbina secara automatik. Peluru berpandu hanyalah satu bahagian daripada sistem tempur. Nilai sebenar bergantung kepada integrasi dengan kapal, sistem pengurusan tempur, penderia (sensor), latihan operator, stok sokongan, penyelenggaraan, perisian, keselamatan storan, dan jaminan bekalan sepanjang hayat.
Peluru berpandu berpandu Exocet masih lagi relevan. Walaupun didakwa lama atau lapuk, hakikat sebenar adalah pembangunan misil ini adalah berterusan dan melibatkan tingkat upaya. /Gambar: MBDA
Exocet sebagai laluan mudah
Jika keutamaan yang paling mendesak adalah untuk memastikan LCS mendapat keupayaan serangan permukaan dengan gangguan minimum, Exocet mempunyai hujah praktikal yang kuat.
Exocet bukanlah nama baharu dalam dunia maritim. Varian MM40 Block 3c ialah generasi moden dalam keluarga Exocet, dengan peningkatan dari segi jarak, ketepatan, dan ketahanan terhadap tindak balas elektronik. Kementerian Angkatan Tentera Perancis menyatakan versi Block 3c telah lulus kelayakan dan dihantar pada 2024, manakala risalah maklumat MBDA menyebut sistem pelancar serta pemasangan perancangan misi dan tembakan Block 3c boleh saling kendali dengan versi MM40 Block 3.
Dari sudut pandang LCS, kelebihan Exocet bukan semata-mata pada peluru berpandu itu sendiri, tetapi berkait rapat dengan risiko integrasi. LCS Malaysia berasaskan reka bentuk Eropah dan sistem tempur yang sudah mempunyai pertalian dengan ekosistem persenjataan Eropah. Jika Exocet boleh dipadankan dengan risiko teknikal yang lebih rendah, jadual pelaksanaan yang lebih jelas, dan perubahan reka bentuk yang lebih kecil, ia wajar dinilai sebagai pilihan pemulihan yang paling pantas.
Namun, memilih Exocet hanya kerana ia kelihatan lebih mudah adalah tidak memadai. Selepas pengalaman NSM, Malaysia perlu menuntut jaminan yang lebih ketat daripada mana-mana pembekal. Persoalannya bukan lagi “boleh tembak sejauh mana?” tetapi “boleh disokong berapa lama, oleh siapa, dengan syarat apa, dan apa yang akan berlaku jika dasar eksport negara pembekal berubah?”
Jika Exocet dipilih, ia mesti didatangkan dengan pakej yang jelas. Ini termasuk jaminan lesen eksport, pelan sokongan sepanjang hayat, stok alat ganti, latihan, dokumentasi teknikal, sokongan integrasi, penyelenggaraan, dan ruang penglibatan untuk industri tempatan. Tanpa semua ini, Malaysia hanya menukar satu bentuk kebergantungan kepada bentuk kebergantungan yang lain.
ATMACA, walaupun baharu di dalam persada sistem persenjataan maritim, peluru berpandu ini membawa imej dan mesej tersendiri. /Gambar: Roketsan
ATMACA sebagai pilihan hala tuju armada
ATMACA pula membawa hujah yang berbeza. Ia bukan sekadar alternatif kepada Exocet, malah ia sudah pun masuk ke dalam perancangan TLDM melalui program Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2. Roketsan telah menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan Malaysia pada pameran DSA baru-baru ini untuk membekalkan peluru berpandu anti-kapal ATMACA bagi LMS Batch 2. Kontrak itu melibatkan 24 peluru berpandu ATMACA untuk kapal LMS Batch 2 yang dibina oleh STM.
Kelebihan ATMACA kepada Malaysia adalah pada potensi keseragaman. Jika LMS Batch 2 menggunakan ATMACA, memperluas penggunaan sistem yang sama kepada LCS boleh memberi manfaat dari segi latihan, stok, perancangan misi, sokongan teknikal, dan hubungan industri dengan Turkiye. Dalam jangka masa panjang, langkah ini boleh mengurangkan kepelbagaian sistem anti-kapal dalam armada TLDM.
Kelemahan ATMACA dalam konteks LCS bukan semestinya pada sistem peluru berpandu itu sendiri, tetapi pada persoalan integrasi dengan seni bina tempur LCS Malaysia. Untuk LMS Batch 2, ATMACA berada dalam ekosistem Turkiye yang lebih semula jadi. Untuk LCS, persoalannya ialah sama ada integrasi dengan SETIS boleh dilaksanakan tanpa kos, masa dan risiko pensijilan yang tidak munasabah.
Oleh itu, ATMACA wajar dilihat sebagai pilihan strategik jangka panjang, tetapi bukan jawapan automatik untuk menyelesaikan keperluan LCS. Kekuatan sistem itu hanya benar-benar relevan kepada LCS jika laluan integrasinya dapat dibuktikan dari segi teknikal, kos, jadual ujian dan pensijilan.
Sistem pengurusan tempur merupakan antara aspek yang jarang disentuh walaupun memberikan kesan besar kepada operasi kapal tempur. /Gambar: Naval Group
Pokok pangkal, bergantung kepada sistem pengurusan tempur (CMS)
Inti pati kepada keseluruhan polemik ini sebenarnya tidak terletak pada spesifikasi peluru berpandu, sebaliknya banyak bergantung kepada Sistem Pengurusan Tempur (CMS) yang bertindak sebagai ‘otak’ kepada kapal. Kapal LCS Malaysia menggunakan sistem SETIS yang dibangunkan oleh firma Perancis, Naval Group.
Secara teknikalnya, mengintegrasikan ATMACA dengan SETIS adalah tidak mustahil, namun dari sudut komersial dan pengurusan projek, ia membawa risiko yang sangat besar. Setakat ini, tiada rekod awam atau duluan (precedent) yang menunjukkan peluru berpandu ATMACA buatan Roketsan pernah diintegrasikan ke dalam SETIS.ATMACA dibangunkan dalam ekosistem pertahanan Turkiye dan lebih sinonim dengan sistem tempur yang digunakan oleh kapal-kapal buatan Turkiye, khususnya ADVENT yang dibangunkan oleh HAVELSAN. Jika Malaysia memilih ATMACA untuk LCS tanpa laluan integrasi yang jelas, TLDM akan menjadi bahan uji kaji pertama (first-of-class) untuk integrasi ini, sekaligus mempertaruhkan jadual projek yang sememangnya sudah kritikal.
Selain itu, wujud pertembungan kepentingan komersial. SETIS adalah sistem hak milik terpelihara (proprietary) Naval Group, manakala Perancis melalui MBDA memiliki Exocet yang bersaing terus dengan ATMACA di pasaran antarabangsa. Untuk membolehkan integrasi sedemikian, Naval Group dan Roketsan perlu mencapai persetujuan teknikal serta komersial mengenai antara muka sistem, data tembakan, perisian, ujian integrasi dan pensijilan. Kos kejuruteraan bukan berulang (NRE) berpotensi menjadi tinggi, bergantung kepada skop sebenar kerja.
Lebih merumitkan, ketiadaan standardisasi ekosistem merentas blok membuka ruang kepada pertikaian teknikal. Jika berlaku kegagalan integrasi, kelewatan ujian atau masalah fungsi, TLDM berisiko terperangkap dalam insiden saling menuding jari antara pembekal CMS (Naval Group) dan pembekal perisian peluru berpandu (Roketsan). Tanpa integrasi ujian statik, simulasi penderia, dan pensijilan tembakan peluru hidup (live firing) yang boleh mengambil masa panjang, kesiagaan kapal tidak terjamin.
Sebaliknya, Exocet MM40 Block 3c berkemungkinan menawarkan laluan integrasi yang lebih rendah risikonya kerana berada dalam ekosistem Eropah yang lebih dekat dengan reka bentuk LCS dan sistem SETIS. Namun, tahap sebenar integrasi tetap perlu disahkan melalui penilaian teknikal, kos kejuruteraan, jadual ujian dan pensijilan.
Tekanan geopolitik dan keadaan semasa memberikan kesan tersendiri kepada perolehan aset di masa hadapan. /Gambar: U.S Navy
Jangan ulang kesilapan lama
Perdebatan antara Exocet berlawan ATMACA tidak sepatutnya menjadi sekadar perbandingan angka. Faktor seperti jarak, kepala peledak, pencari sasaran, dan profil penerbangan memang penting. Namun, dalam konteks perolehan sebenar, sistem yang nampak hebat di atas kertas belum tentu memberikan keupayaan terbaik kepada sesebuah kapal.
Peluru berpandu anti-kapal memerlukan rangkaian sokongan yang menyeluruh. Ia perlu dihubungkan kepada radar, sistem tempur, perisian perancangan misi, prosedur tembakan, data sasaran, latihan operator, penyelenggaraan berkala, keselamatan storan, dan sokongan pembekal. Jika salah satu daripada unsur ini lemah, peluru berpandu sehebat mana pun hanya akan menjadi aset yang mahal tetapi gagal memberikan tahap kesiagaan penuh.
Oleh sebab itu, keputusan Malaysia perlu dinilai melalui beberapa persoalan utama.
Persoalan utama adalah sistem manakah yang paling cepat dan selamat untuk diintegrasikan pada LCS? Jika ada, pembekal manakah yang boleh memberikan jaminan eksport dan sokongan sepanjang hayat yang lebih teguh?
Sekiranya kedua-dua soalan tersebut dapat dijawab, persoalan seterusnya adalah dari sudut tempatan dan industri. Jadi, sistem manakah yang memberi nilai tambah lebih besar kepada Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), khususnya dari segi MRO, latihan teknikal, dokumentasi, rantaian bekalan, dan pembinaan tenaga kerja mahir?
Selain itu, sistem manakah yang mampu mengurangkan beban logistik TLDM dalam jangka masa panjang? Sistem manakah yang memberi Malaysia kedudukan rundingan yang lebih baik, dan bukan sekadar keupayaan tembakan di atas kertas?
Melihat kepada persoalan-persoalan ini, adalah perlu difahami bahawa perolehan aset bukan sekadar bualan di kalangan peminat (enthusiast) dan ia bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak perkara perlu diambil kira dan setiap aspek memberikan kesan dan akibat tersendiri.
Turkiye telah meningkatkan keupayaan industri mereka selepas menerima tamparan geopolitik dalam perolehan aset pertahanan yang mereka pernah lalui satu ketika dahulu. /Gambar: Roketsan
DIPN perlu menjadi penapis keputusan
DIPN sepatutnya menjadi kerangka utama untuk menjawab persoalan-persoalan ini. Dasar tersebut yang dilancarkan awal tahun ini menekankan transformasi ke arah swadaya pertahanan negara, pembangunan ekosistem industri, rantaian bekalan, dan keupayaan teknologi tempatan.
Maka, keputusan memilih Exocet atau ATMACA tidak boleh dilihat sebagai satu keputusan teknikal semata-mata, sebaliknya ia perlu menjadi sebahagian daripada keputusan dasar. Jika Malaysia memilih Exocet, pilihan itu mesti menyelesaikan keperluan mendesak LCS tanpa mengabaikan pembangunan sokongan tempatan. Jika Malaysia memilih ATMACA, pilihan itu mesti berupaya membina keseragaman armada dan memberikan nilai industri yang lebih jelas, bukan sekadar kerana sistem itu sudah dibeli untuk LMS Batch 2.
DIPN perlu memastikan setiap perolehan meninggalkan legasi keupayaan yang boleh dimanfaatkan secara dalaman. Ini merangkumi jurutera yang lebih mahir, juruteknik yang terlatih, dokumen teknikal yang boleh diakses, tahap MRO yang jelas, latihan kepada pengguna, perisian sokongan, ketersediaan stok alat ganti, serta peranan industri tempatan yang lebih meluas melangkaui kerja-kerja pemasangan atau perwakilan jualan.
Tanpa penanda aras sebegini, istilah ‘pemindahan teknologi’ hanya akan terus menjadi sekadar retorik kerana kedengaran gah tetapi tidak benar-benar mengubah keupayaan negara.
Perolehan aset pertahanan kini tidak boleh sekadar yang mana lebih bertaring. Aspek lain seperti logistik dan industri perlu diambil kira. /Gambar: MBDA
Mencari jawapan yang lebih munasabah
Jika dinilai dari sudut menyelamatkan jadual LCS, Exocet dilihat sebagai pilihan yang meminimumkan gangguan dan lebih wajar diteliti terlebih dahulu. Ia didukung oleh ekosistem Eropah yang lebih serasi dengan reka bentuk LCS dan boleh bertindak sebagai pelan pemulihan sekiranya isu integrasi serta lesen eksport dapat dijamin.
Sebaliknya, jika persoalan ditanya dari sudut hala tuju armada TLDM untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, ATMACA tidak boleh diketepikan. Malaysia sudah pun memilih sistem itu untuk LMS Batch 2. Jika kelancaran integrasinya pada LCS dapat dibuktikan, ATMACA boleh menjadi asas kepada standard keseragaman peluru berpandu anti-kapal bagi armada permukaan TLDM.
Namun, penyelesaian terbaik mungkin bukanlah dengan memilih satu nama secara tergesa-gesa. Malaysia perlu mengasingkan dua keperluan utama. Keperluan pertama adalah untuk memulihkan keupayaan LCS dengan risiko paling rendah. Keperluan kedua pula adalah untuk membina pelan strategik peluru berpandu anti-kapal jangka panjang yang selari dengan objektif DIPN.
Jika Exocet mampu menyelesaikan masalah LCS dengan cepat, ia boleh dijadikan pilihan pemulihan. Jika ATMACA pula menawarkan nilai strategik yang lebih besar setelah integrasinya dibuktikan, ia berpotensi menjadi asas standard masa depan. Tetapi hakikatnya, kedua-dua pilihan mesti melepasi syarat yang sama: jaminan eksport, sokongan sepanjang hayat, kejelasan integrasi, latihan, MRO, ketersediaan alat ganti, kos kitaran hayat, dan nilai tambah kepada industri tempatan.
Pengajaran daripada krisis NSM bukanlah sekadar Malaysia perlu beralih daripada satu pembekal kepada pembekal yang lain. Pengajaran yang sebenar ialah Malaysia perlu berhenti membeli sistem tanpa mempunyai kawalan yang mencukupi terhadap sokongan, pelesenan, integrasi, dan rantaian kitaran hayat aset tersebut.
Sama ada Exocet atau ATMACA, sesuatu pilihan itu hanya berbaloi jika Malaysia tidak lagi sekadar bergelar pembeli. Malaysia harus bangkit menjadi pengguna yang mampu menguasai, menyokong, dan mempertahankan sistem pertahanannya sendiri. – airtimes.my
















