MOSKOW, 8 MEI – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyaksikan demonstrasi udara jet pejuang generasi kelima Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, Moscow.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berlangsung dalam rangka lawatan ke Rusia atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan pada 9 Mei.
Menurut hantaran rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, demonstrasi udara selama hampir tujuh minit itu dikendalikan juruterbang ujian utama Sukhoi, Sergei Bogdan, 64, yang juga penerima gelaran Wira Rusia.
“Demonstrasi udara selama hampir tujuh minit itu mempamerkan keupayaan teknologi ketenteraan moden Persekutuan Rusia termasuk kecanggihan sistem radar serta kemampuan operasi pelbagai peranan dimiliki jet pejuang berkenaan,” menurut hantaran itu.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mendengar taklimat dari wakil United Aircraft Corporation mengenai Su-57./Foto: FB Sultan Ibrahim
Bogdan menjadi juruterbang ujian utama Sukhoi sejak tahun 2000 dan dikenali sebagai antara individu penting dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima Rusia.
Selepas demonstrasi itu, Sultan Ibrahim berkenan menerima taklimat mengenai Su-57E dan melihat ruang dalaman pesawat berkenaan selepas ia mendarat.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia, Dato’ Cheong Loon Lai.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di lokasi itu disambut Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan bagi Kerjasama Ketenteraan-Teknikal Rusia, Mikhail Petukhov.
Sultan Ibrahim berkenan menerima cenderamata dari juruterbang ujian utama Sukhoi, Sergei Bogdan. /Foto: FB Sultan Ibrahim
Su-57E, jet pejuang generasi kelima Rusia untuk tujuan eksport
Su-57E ialah varian eksport bagi pesawat tempur generasi kelima Su-57 yang dibangunkan United Aircraft Corporation melalui Sukhoi.
Menurut Rosoboronexport, pesawat itu direka sebagai jet pejuang pelbagai peranan untuk melaksanakan misi terhadap sasaran udara, darat dan permukaan, pada waktu siang serta malam, menggunakan persenjataan berpandu dan tidak berpandu.
Berdasarkan spesifikasi yang diterbitkan Rosoboronexport, Su-57E dikendalikan seorang juruterbang, dengan berat maksimum berlepas 34,000 kilogram dan muatan maksimum 7,500 kilogram.
Pesawat itu turut disenaraikan mempunyai kelajuan maksimum Mach 2.0, jarak penerbangan 2,800 kilometer, radius tempur 1,250 kilometer dan siling operasi 18,800 meter.
Sultan Ibrahim berkenan untuk melihat dan menyaksikan sendiri Sukhoi Su-57E dengan lebih rapat. /Foto: FB Sultan Ibrahim
Rosoboronexport turut mempromosikan Su-57E dengan sistem avionik, persenjataan dan perlindungan diri generasi baharu. Tahap automasi pada pesawat itu dinyatakan membolehkan pelbagai tugas penerbangan dan misi tempur dikendalikan oleh seorang juruterbang.
Dari segi reka bentuk, Su-57 dibangunkan dengan ciri yang lazim dikaitkan dengan pesawat tempur generasi kelima, termasuk pengurangan kesan radar, ruang senjata dalaman, sistem penderia bersepadu dan keupayaan manuver tinggi.
Pesawat itu juga dikaitkan dengan penggunaan bahan komposit, salutan penyerap radar, radar pelbagai jalur, sistem peperangan elektronik serta penderia yang direka untuk meningkatkan kesedaran situasi juruterbang.- airtimes.my



