Home Teknologi PertahananPilatus PC-24 bakal ubah mobiliti taktikal TNI-AU

Pilatus PC-24 bakal ubah mobiliti taktikal TNI-AU

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Pemilihan sesuatu aset ketenteraan jarang berlaku secara kebetulan. Ia lazimnya mencerminkan keperluan sebenar, cabaran operasi, serta hala tuju doktrin masa depan sesebuah angkatan. Keputusan Kementerian Pertahanan (Kemhan) Indonesia dalam memuktamadkan kontrak perolehan 12 unit pesawat Pilatus PC-24 menandakan satu anjakan strategik dalam doktrin mobiliti udara nasional.

Perjanjian yang ditandatangani antara syarikat Switzerland, Pilatus, dan PT E-System Solutions Indonesia pada 30 Mac 2026 ini bukan sekadar penambahan aset, tetapi transformasi kepada konsep Jet Ringan Pelbagai Peranan (Multi-Role Light Jet). Perolehan ini juga merangkumi pakej lengkap termasuk peralatan sokongan darat, alat ganti, latihan serta sokongan teknikal. Walaupun nilai kontrak tidak didedahkan, skop perolehan jelas menunjukkan pendekatan menyeluruh dalam pembangunan keupayaan.

Langkah ini turut memperlihatkan keperluan Tentera Udara Indonesia (TNI-AU) untuk menggabungkan kepantasan jet dengan fleksibiliti operasi di kawasan pedalaman. Sebelum ini, peranan tersebut banyak digalas oleh pesawat turboprop tradisional.

Peralihan daripada turboprop kepada jet ringan

Secara tradisinya, pesawat turboprop menjadi tulang belakang kepada operasi pengangkutan ringan dan latihan dalam kebanyakan angkatan udara. Ia lebih ekonomik dan mampu beroperasi di kawasan terpencil. Namun, kelebihan ini datang bersama kekangan dari segi kelajuan dan masa tindak balas.

Peralihan kepada konsep jet ringan pelbagai peranan memperlihatkan perubahan keutamaan. PC-24 menggabungkan fleksibiliti dengan kepantasan, menerusi kelajuan pelayaran sekitar 440 knot dan siling operasi sehingga 30,000 kaki. Selain itu, pesawat ini menawarkan kelebihan masa yang ketara berbanding platform turboprop. Dalam operasi moden, keupayaan untuk tiba lebih awal di lokasi sering menjadi faktor penentu keberkesanan misi.

Dengan berat maksimum berlepas sekitar 8,300 kilogram dan kapasiti muatan sehingga 1,134 kilogram, pesawat ini sesuai untuk misi logistik ringan yang memerlukan tindakan segera. Pada masa sama, pensijilan operasi juruterbang tunggal memberikan fleksibiliti tambahan dalam pengurusan sumber manusia.

Dalam pada itu, PC-24 juga mampu melaksanakan pelbagai peranan termasuk latihan juruterbang, pengangkutan udara serta tugas perhubungan. Keupayaan pelbagai peranan ini meningkatkan kecekapan operasi tanpa memerlukan platform berasingan.

Super versatile jet” dalam konteks geografi Indonesia

Indonesia terdiri daripada lebih 17,000 pulau dengan keadaan geografi yang kompleks dan mencabar. Dalam konteks ini, keupayaan pesawat menjadi faktor kritikal dalam memastikan mobiliti udara yang berkesan.

Salah satu kelebihan utama PC-24 ialah keupayaannya beroperasi di landasan pendek dan tidak berturap. Pesawat ini memerlukan jarak berlepas sekitar 3,090 kaki dan jarak pendaratan kira-kira 2,410 kaki dalam keadaan standard. Ini membolehkannya beroperasi di lapangan terbang kecil, termasuk landasan rumput atau kerikil.

Bagi Indonesia, keupayaan ini sangat signifikan. Banyak kawasan pedalaman tidak mempunyai infrastruktur penerbangan moden. Dalam keadaan ini, pesawat jet konvensional sering berdepan kekangan operasi. PC-24 mengubah landskap ini dengan menggabungkan kelebihan jet dan keupayaan operasi taktikal.

Keupayaan ini secara tidak langsung memperkukuh kehadiran negara di kawasan strategik, termasuk pangkalan udara kecil di sempadan. Ia juga membolehkan Tentara Nasional Indonesoa – Angkatan Udara (TNI-AU) mengakses lebih banyak lokasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada lapangan terbang utama. Hasilnya, capaian operasi menjadi lebih luas dan tindak balas lebih pantas.

Peranan Kritikal dalam Misi Pemindahan Perubatan Udara

Salah satu kelebihan paling ketara PC-24 adalah potensinya dalam misi pemindahan perubatan kecemasan atau medevac. Di wilayah terpencil seperti Maluku atau Papua, akses kepada kemudahan kesihatan yang lengkap sering menjadi cabaran utama.

Oleh itu, dalam situasi berkenaan, kepantasan menjadi faktor penting. PC-24 mampu mengurangkan masa penerbangan dengan ketara berbanding pesawat turboprop. Ia juga berupaya terbang pada ketinggian tinggi, sekali gus membolehkannya mengatasi keadaan cuaca yang tidak menentu dan memberikan penerbangan yang lebih stabil kepada pesakit.

Di samping itu, ciri pintu kargo besar yang unik pada pesawat ini memudahkan kemasukan pengusung (stretcher) serta peralatan perubatan. Ini membolehkan pesawat berfungsi sebagai platform rawatan udara yang lebih cekap. Dalam keadaan kecemasan, pengurangan masa perjalanan walaupun singkat boleh memberi kesan besar kepada peluang kelangsungan hidup pesakit.

Tambahan pula, keupayaan mendarat di landasan tidak berturap membolehkan pesawat beroperasi lebih hampir dengan lokasi pesakit. Ini mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan darat yang mungkin mengambil masa yang lama serta terhad. Pada masa sama, fleksibiliti konfigurasi kabin juga membolehkan ia membawa pesakit, petugas perubatan dan peralatan secara serentak.

Penanda Aras Baharu Mobiliti Nusantara

Perolehan PC-24 oleh Kementerian Pertahanan Indonesia boleh dilihat sebagai satu langkah evolusi yang signifikan. Ia menunjukkan pemahaman mendalam terhadap keperluan aset yang bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga praktikal dalam konteks geografi negara. Peralihan ini mencerminkan perubahan daripada kebergantungan kepada platform tradisional kepada pendekatan yang lebih fleksibel dan berorientasikan masa.

Walaupun kos operasi jet ringan lebih tinggi, kelebihan dari segi kelajuan, capaian dan fleksibiliti menjadikannya pelaburan strategik. Dalam era yang menuntut tindak balas pantas, aset seperti PC-24 menawarkan keupayaan yang relevan dengan cabaran semasa.

Pada masa sama, pendekatan jet ringan pelbagai peranan ini berpotensi menjadi rujukan kepada negara lain yang mempunyai geografi kompleks. PC-24 kini bukan sekadar pesawat baharu dalam inventori, malah ia mencerminkan perubahan cara berfikir dalam merancang mobiliti udara.

Dalam konteks Indonesia, ia menjadi penghubung antara keperluan operasi di lapangan dengan keupayaan teknologi moden yang semakin berkembang pesat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply