Home Pertahanan dan KeselamatanDSA 2026: MINDEF meterai 24 instrumen strategik bernilai RM3.542 bilion

DSA 2026: MINDEF meterai 24 instrumen strategik bernilai RM3.542 bilion

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 22 APR – Kementerian Pertahanan (MINDEF), hari ini memeterai 24 instrumen strategik dengan nilai keseluruhan mencecah 3.542 bilion. Pemeteraian ini dilaksanakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026.

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan rasmi MINDEF. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebanyak 12 kontrak perolehan, 4 Surat Niat (LOI) dan 8 Surat Tawaran Program Kolaborasi Industri (ICP) dimeterai. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan secara menyeluruh.

Menurut kenyataan itu, ICP berperanan sebagai pemangkin utama dalam membangunkan industri pertahanan yang mampan, berdaya saing serta berteknologi tinggi.

Pendekatan ini juga sebahagian daripada usaha bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

“Fokus utama kini beralih daripada sekadar penyelenggaraan (MRO) kepada pembuatan bernilai tinggi serta inovasi teknologi bagi mendepani persekitaran strategik yang semakin kompleks,” menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan ICP dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negara. Ini termasuk memacu pelaburan dalam kecerdasan buatan, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pertahanan serantau serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Selain itu, ia turut menyumbang kepada peningkatan eksport pertahanan dan kesiapsiagaan nasional. Pemeteraian ini juga mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan dalam memperkukuh keupayaan cegah rintang (deterrence) negara, selaras dengan cabaran keselamatan global yang sering berubah.

Majlis turut disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, serta Pengurusan Tertinggi MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply