BANGKOK, 24 JULAI – Konflik bersenjata antara Kemboja dan Thailand kembali memuncak apabila kedua-dua negara dilaporkan saling melancarkan serangan di sepanjang kawasan sempadan sejak awal pagi tadi.
Media Thailand melaporkan bahawa Tentera Diraja Kemboja telah menyerang Hospital Phanom Dong Rak yang terletak di kawasan Chik Daek sehingga menyebabkan sejumlah mangsa dilaporkan terkorban di kawasan konflik tersebut.
Sebagai tindak balas, Thailand bertindak dengan melancarkan serangan udara ke atas beberapa sasaran ketenteraan Kemboja sekaligus serangan udara ini disifatkan sebagai peningkatan ketara sepanjang konflik berlaku.
Dalam perkembangan sama, Tentera Thailand melaporkan bahawa Pasukan Kemboja telah melepaskan dua roket BM-21 ke kawasan penempatan di wilayah Surin, Thailand pada pagi Khamis dan mengakibatkan tiga orang awam cedera.

Tentera Kemboja melancarkan serangan ke atas stesen minyak di Ban Phue, Thailand
Pasukan Thailand segera melaksanakan pemindahan penduduk dari kawasan terjejas demi keselamatan nyawa dan harta benda.
Saluran berita Thai PBS memetik kenyataan seorang pegawai tempatan di wilayah Surin yang berkata bahawa dua peluru meriam Kemboja mengenai sebuah kampung tempatan, menyebabkan dua kematian dan dua lagi cedera.
Beberapa tembakan roket dilaporkan turut menyasarkan kedudukan tentera Thailand awal pagi tadi, sekali gus menandakan peningkatan penggunaan senjata berat dalam pertempuran ini.
Setakat ini, jumlah kematian dan kecederaan dari kedua-dua pihak masih belum dapat disahkan. -airtimes.my
#AirTimes #KonflikSempadan #ThailandKemboja #SeranganUdara #BM21Grad
