KUALA LUMPUR, 24 Jul – Seramai 12,724 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) direkodkan telah mendaftar dalam platform MyFutureJobs sejak inisiatif itu diperkenalkan pada tahun 2021, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Daripada jumlah itu, seramai 5,165 veteran ATM telah mendapatkan pekerjaan, hasil kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut Adly, inisiatif itu merupakan antara beberapa program kerjaya kedua yang sedang dilaksanakan secara kolaboratif dengan pelbagai agensi.
“Seramai 382 veteran ATM dilantik sebagai Renjer Komuniti (RK) dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sejak tahun 2020,
“Sementara itu, seramai 467 veteran ATM pula terlibat dalam Immune Belt Enforcement Team (IBET) Volunteers di Sarawak dengan Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Ismail (Lumut – PN) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah melaksanakan sebarang program rentas kementerian dan agensi bagi menyediakan peluang kerjaya kedua kepada veteran ATM.
Mengulas lanjut, Adly berkata, program Veteran MyWira oleh TalentCorp kini telah merekodkan 3,975 veteran ATM dalam pangkalan datanya untuk tujuan pemetaan dan perancangan hala tuju kerjaya kedua.
Usaha itu, jelasnya, sedang diteruskan bagi menempatkan para veteran dalam sektor strategik, termasuk di syarikat penerbangan dan aeroangkasa seperti Weststar Aviation Services dan Global Turbine Asia (GTA).
Dalam sektor keusahawanan pula, seramai 52 veteran ATM telah terlibat dalam Program Transformasi Perniagaan Veteran ATM menerusi kerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS). Program tersebut telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kelantan.
Tambah Adly, kerjasama antara PERHEBAT dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga telah memperkasa 178 orang veteran ATM sebagai Kontraktor Pembinaan melalui program Usahawan MARA, khususnya dalam bidang Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“PERHEBAT turut bekerjasama dengan Furniture Industry Technology Center (FITEC) MARA yang telah melatih seramai 37 orang usahawan veteran ATM dalam bidang pembuatan perabot,” jelasnya lagi.
Tegasnya, MINDEF juga dalam dalam proses libat urus dengan pihak MARA dalam rangka pengambilan veteran ATM sebagai warden asrama sebagai alternatif penugasan keselamatan di sekolah-sekolah serta pejabat pendidikan di seluruh Negara.-airtimes.my
#airtimes #pertahanan #veteranATM #Perhebat #kerjayakedua
