Home DiskusiHancurnya sebuah negara kerana ‘scammer’

Hancurnya sebuah negara kerana ‘scammer’

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Mutakhir ini, kita seringkali melihat jenayah scammer atau penipuan. Baik di dada akhbar dan media sosial, laporan mengenai kegiatan ini dilihat semakin menjadi. Hakikatnya, kegiatan scammer yang meresahkan masyarakat dan negara bukan sekadar jenayah kecil yang boleh diambil remeh.

Seiring dengan kemajuan teknologi dan perkembangan dunia, ancaman kegiatan scammer telah berkembang jauh daripada sekadar cubaan menipu menerusi panggilan telefon atau mesej ringkas. Ia bukan lagi jenayah terpencil yang berakhir pada seorang mangsa dan satu laporan polis.

#SorotanKandungan

Scam bukan lagi isu terpencil. Ia telah berkembang menjadi ancaman sistemik yang mengganggu kestabilan ekonomi, merosakkan institusi, dan menggugat kepercayaan awam. Artikel ini membongkar bagaimana jenayah ini membawa kesan buruk kepada mana-mana negara. Ia turut meneliti peranan sindiket serantau, cabaran penguatkuasaan, dan tindakan kerajaan yang belum cukup menyekat lonjakan jenayah ini. Kepercayaan adalah benteng terakhir sebuah negara dan scam sedang melemahkannya dari dalam.

Pada Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laporan media tempatan menyatakan, sejumlah RM573 juta kerugian dicatatkan hanya dalam tempoh suku pertama tahun 2025, membabitkan 12,110 kes penipuan. Jumlah ini meningkat berbanding RM519 juta dan 10,715 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, Malaysia telah merekodkan kerugian mencecah RM1.57 bilion melibatkan 35,368 kes jenayah scam. Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding RM1.21 bilion dan 34,495 kes pada tahun sebelumnya. Statistik ini membuktikan bahawa jenayah scam bukan sahaja semakin meluas, tetapi semakin merugikan negara dari tahun ke tahun.

Antara bentuk penipuan yang paling banyak dilaporkan termasuk scam pelaburan mata wang digital yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat, penipuan e-dagang yang melibatkan bayaran untuk barangan yang tidak wujud, serta sindiket penyamaran sebagai pegawai polis, mahkamah atau bank yang memperdaya mangsa agar memindahkan wang.

Scam jenayah ekonomi skala besar (^kembali)

Dalam dunia hari ini, scam ialah jenayah ekonomi berskala besar. Ia menjalar dalam bentuk rangkaian, melibatkan pelbagai pihak, dan mampu menyerap wang dari seluruh lapisan masyarakat.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kesannya yang jauh lebih mendalam daripada kehilangan simpanan peribadi. Scam berupaya menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem. Ia menanam bibit ketidakpercayaan dalam masyarakat, menghancurkan kestabilan ekonomi, dan dalam kes yang lebih serius, menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Sejarah pernah menyaksikan bagaimana dua buah negara mengalami kehancuran kerana gagal mengawal wabak penipuan dalam sistem mereka sendiri. Albania dan Nigeria menjadi bukti bahawa scam bukan jenayah biasa, ia adalah bom masa yang beroperasi dalam diam.

Kisah Albania yang berkubur kerana skim pelaburan palsu (^kembali)

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Transparency International dan Bank Dunia, kegagalan Albania mengawal skim pelaburan palsu pada 1996 disifatkan sebagai salah satu contoh paling ekstrem kesan scam terhadap negara. Sementara itu, kajian oleh Interpol dan UNODC turut mengenalpasti Nigeria sebagai antara hab utama penipuan digital sejak dekad 1990-an.

Albania pada pertengahan 1990-an adalah negara yang baru keluar daripada pemerintahan rejim komunis. Sistem pasaran bebas diperkenalkan dengan harapan membawa kemajuan. Namun, ketiadaan kawal selia yang ketat telah membuka ruang kepada kemunculan pelbagai syarikat pelaburan yang menawarkan pulangan tidak masuk akal. Rakyat yang baru mengenali dunia pelaburan terpedaya dengan janji kekayaan segera.

Syarikat-syarikat ini beroperasi berdasarkan skim piramid. Wang pelabur baharu digunakan untuk membayar pelabur terdahulu. Selagi kemasukan pelabur baharu berterusan, pulangan dijamin. Tetapi apabila aliran itu terhenti, sistem runtuh serta-merta. Hampir dua pertiga rakyat Albania terlibat dalam skim ini. Kerugian mencecah lebih satu bilion dolar Amerika, bersamaan hampir separuh daripada keseluruhan ekonomi negara ketika itu.

Akibatnya sangat parah, rakyat turun ke jalanan sehingga berlakunya rusuhan besar di seluruh negara. Selain itu, gudang senjata tentera turut diceroboh dan senjata diagih secara sesuka hati. Keadaan menjadi tidak terkawal hingga kerajaan yang memerintah pada waktu itu tumbang dalam kekacauan. Apa yang bermula sebagai satu penipuan kewangan akhirnya menyebabkan seluruh negara Balkan itu ke dalam huru-hara yang meragut nyawa, merosakkan infrastruktur, dan melumpuhkan institusi pentadbiran.

Nigeria dan legasi scam yang menghantui hingga ke hari ini (^kembali)

Nigeria pula, tidak mengalami kejatuhan dalam bentuk fizikal seperti Albania, tetapi mereka menghadapi kesan jangka panjang yang tidak kurang serius. Negara ini dikenali di seluruh dunia dengan aktiviti scam digital sejak awal dekad 1990-an. Penipuan menerusi e-mel palsu, janji pelaburan luar negara dan kisah cinta rekaan menjadi satu industri bawah tanah yang menjana berbilion dolar.

Aktiviti scam ini tidak terhad kepada penipuan rentas sempadan. Di dalam negara, ia mula mencorak persepsi masyarakat terhadap kejayaan dan kekayaan. Wujud satu generasi yang menganggap kekayaan melalui penipuan sebagai satu bentuk kecerdikan, bukan jenayah. Akibatnya, nilai sosial runtuh.

Ramai mangsa dalam dan luar negara terpedaya. Dalam masa yang sama, pelabur antarabangsa mula menjauhkan diri. Nigeria pada ketika itu kehilangan kredibiliti di mata dunia. Malah, maruah negara menjadi bahan jenaka di media sosial sehingga terdapat video parodi atau gurauan yang berpusat kepada istilah berkaitan dengan kegiatan jenayah scam di negara Afrika terbabit.

Reputasi sebagai hab scammer global menjadi beban yang menyukarkan kerjasama antarabangsa. Di dalam negara, wujud jurang sosial yang besar antara mereka yang hidup mewah hasil scam dan rakyat biasa yang berusaha secara jujur. Kesan ini membawa kepada kemerosotan kepercayaan terhadap sistem keadilan dan penguatkuasaan. Bila penipuan menjadi norma dan undang-undang tidak lagi ditakuti, maka negara mula hilang integriti daripada dalam.


Tidak dinafikan kelebihan yang terdapat pada teknologi memberikan banyak kebaikan, namun perlu sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan yang kita lakukan. FOTO: GAMBAR HIASAN


Negara tidak runtuh kerana perang, tetapi kerana hilang kepercayaan (^kembali)

Kisah Albania dan Nigeria memberi pengajaran yang jelas kepada kita. Ancaman terhadap sesebuah negara tidak semestinya datang dalam bentuk pencerobohan, letupan atau rampasan kuasa. Ada kalanya, kehancuran itu bermula apabila rakyat hilang keyakinan terhadap sistem yang sepatutnya melindungi mereka.

Dalam erti kata lain, kekuatan sesebuah negara boleh musnah jika dalamannya musnah. Situasi ini telah terbukti dalam sejarah peradaban dunia bagaimana sebuah empayar yang besar musnah akibat kehancuran dari dalaman.

Scam bukan sekadar jenayah ekonomi. Ia adalah pemusnah senyap yang merobohkan asas paling penting dalam sebuah negara iaitu kepercayaan. Jika sebuah negara membiarkan scam merebak tanpa tindakan tegas, maka bukan sahaja wang yang hilang. Rasa percaya juga akan lenyap. Dan apabila itu berlaku, segala bentuk undang-undang, dasar dan janji tidak lagi bermakna.

Strategi global scam hari ini lebih licik dan bersepadu. Penipuan tidak lagi berlaku secara individu. Ia kini dikendalikan oleh sindiket berstruktur, lengkap dengan operasi teknologi, logistik, dan bahkan perlindungan di beberapa negara tertentu. Aktiviti scam tidak lagi menyasarkan seorang dua mangsa, tetapi keseluruhan sistem perbankan, pelaburan, dan pentadbiran awam. Ia direka untuk melangkaui sempadan, menyukarkan penguatkuasaan, dan mempercepatkan aliran keluar modal secara haram.

Di Asia Tenggara, negara seperti Kemboja dan Myanmar dilaporkan menjadi lokasi utama pusat panggilan scam yang menggaji warga asing termasuk rakyat Malaysia secara paksa. Laporan oleh media antarabangsa dan pertubuhan hak asasi mendedahkan wujudnya pemerdagangan manusia digital, di mana individu diperdaya untuk bekerja di sindiket scam antarabangsa.

Dalam dimensi keselamatan moden, scam kini diklasifikasikan sebagai ancaman hibrid. Ia sebaris dengan ancaman serangan siber, perang informasi, dan pengaruh ekonomi. Ia bukan lagi jenayah individu, tetapi senjata yang mampu menggugat kestabilan sesebuah negara melalui saluran bukan konvensional.

Banyak negara kini menjadi mangsa scam rentas sempadan yang melibatkan pelaburan palsu, sistem pembelian atas talian, aplikasi pinjaman segera, dan skim penipuan pekerjaan. Kegiatan ini menyasarkan rakyat biasa, menyerap wang dari ekonomi tempatan, dan kemudian melesapkan dana itu ke luar negara.

Apabila jumlah kerugian mencecah ratusan juta dolar (kalau dalam konteks Malaysia, Ringgit) dalam masa setahun, negara akan mula terasa beban yang tidak kelihatan. Ia menjejaskan aliran tunai domestik, menyebabkan bank kehilangan kepercayaan pelanggan, dan akhirnya menurunkan daya saing ekonomi secara keseluruhan.

Scam sebagai ancaman rentas sempadan dan senjata hibrid (^kembali)

Ancaman scam pada masa kini menjadi lebih sukar ditangani apabila sebahagian pelakunya diberi perlindungan oleh pihak tertentu. Dalam keadaan seperti ini, scam bukan lagi masalah jenayah sempadan. Ia menjadi senjata ekonomi yang boleh digunakan untuk melemahkan kedaulatan negara pesaing tanpa perlu melepaskan sebutir peluru.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada ancaman ini. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa scam digital yang merangkumi penipuan pelaburan, penipuan e-dagang, dan sindiket pemalsuan identiti. Kementerian Komunikasi dan agensi keselamatan telah mengeluarkan pelbagai amaran, namun statistik kerugian menunjukkan ancaman sebegini masih lagi wujud.

Negara bukan hanya dibina dengan dasar dan undang-undang. Ia dibina di atas satu asas yang lebih rapuh dan berharga, iaitu kepercayaan. Rakyat percaya bahawa wang mereka selamat di bank. Mereka percaya bahawa pelaburan yang dijamin oleh agensi tertentu adalah sah. Mereka percaya bahawa laporan kewangan tidak dimanipulasi, dan bahawa jenayah akan dibawa ke muka pengadilan. Apabila kepercayaan ini pecah, maka tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk mempertahankan negara daripada keruntuhan dalaman.

Lebih membimbangkan ialah apabila rakyat mula beranggapan bahawa penipuan adalah sebahagian daripada kehidupan moden. Jika budaya ini tidak dibendung, Malaysia akan menghadapi krisis nilai yang jauh lebih merbahaya daripada sekadar kerugian kewangan. Negara yang ingin membina masa depan perlu memastikan bahawa kepercayaan awam sentiasa dilindungi, dan scammer tidak diberi ruang untuk hidup mewah hasil jenayah mereka.


Laporan media tempatan mengenai peningkatan isu scammer. FOTO: POLIS DIRAJA MALAYSIA (ROYAL MALAYSIA POLICE


Tindakan kerajaan dan kesedaran rakyat (^kembali)

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Komunikasi, PDRM, dan Bank Negara telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menangani wabak ini. Antaranya ialah platform SEMAK Mule Account, portal amaran penipuan BNM, serta penubuhan Pasukan Petugas Khas Menangani Penipuan Dalam Talian (STFO) yang bertujuan menyelaraskan tindakan rentas agensi terhadap scam digital.

Scam bukan lagi sekadar isu jenayah. Ia kini menyentuh soal ketahanan ekonomi nasional, keselamatan digital, dan integriti sosial. Jika kerajaan dan rakyat gagal mengambil pendekatan bersepadu dalam satu tenaga, kita akan menyaksikan lebih banyak keluarga yang kehilangan simpanan, syarikat kecil yang bankrap, dan sistem kewangan yang semakin lemah.

Apabila kepercayaan mula goyah… (^kembali)

Scam ialah senjata pemusnah senyap yang menyerang terus ke jantung kepercayaan ini. Ia tidak kelihatan dalam bentuk bom atau senjata api. Ia tidak kedengaran seperti letupan atau tembakan. Tetapi kesannya mampu meruntuhkan keluarga, masyarakat, dan akhirnya negara. Inilah bahaya sebenar yang perlu difahami.

Malaysia masih mempunyai peluang untuk bertindak sebelum terlambat. Penguatkuasaan perlu lebih pantas daripada penipuan. Pendidikan pengguna perlu lebih meluas daripada iklan scam. Sistem perundangan perlu lebih tegas daripada helah undang-undang. Kita tidak mampu lagi untuk bersikap pasif.

Namun, rakyat juga perlu berikan kerjasama untuk menyedari bahawa isu scammer bukanlah sekadar perkara jenayah semata-mata.

Sejarah sudah beri amaran. Hari ini, kita pilih sama ada untuk belajar atau mengulangi kesilapan yang sama yang mampu memusnahkan keamanan sesebuah negara . – airtimes.my

#Airtimes #Scammer #Scam #Teknologi #Albania #Malaysia 

Related Articles

Leave a Reply