Dalam meniti kedamaian di tengah pergolakan geopolitik Asia Barat yang tidak berkesudahan, konflik antara Iran dan Israel diibaratkan seperti gunung berapi yang lama tidak meletus, menanti saat untuk meledak semula. Persengketaan ini bukan sekadar berpaksikan sejarah dan ideologi, tetapi turut didorong oleh kepentingan strategik, keselamatan, serta persaingan kuasa di rantau yang semakin tegang.
Sejak sekian lama, hubungan Iran-Israel dibayangi ketegangan dan permusuhan, dianggap sebagai salah satu pertembungan paling berbahaya di dunia Timur Tengah. Konflik ini bukan sekadar perebutan pengaruh dua kuasa, tetapi mencerminkan pertembungan ideologi, keselamatan serantau serta campur tangan kuasa luar yang memburukkan lagi keadaan.
Konflik ini lebih daripada sekadar pertikaian wilayah atau isu politik, di mana ia adalah pertembungan ideologi yang mendalam, yang mencabar persoalan sama ada dunia mampu melihat titik damai di tengah-tengah kebencian yang semakin memuncak.
Setiap insiden serangan, retorik pemimpin, dan pergerakan ketenteraan membawa risiko tercetusnya perang berskala penuh atau mungkin membuka ruang kepada rundingan dan damai yang rapuh.
Detik Permusuhan
Permusuhan antara Iran dan Israel bermula selepas Revolusi Islam Iran sejak awal penubuhannya pada 1979, yang menyaksikan pemerintahan pro-Barat di bawah Shah Mohammad Reza Pahlavi digantikan oleh rejim teokratik pimpinan Ayatollah Khomeini. Sebelum itu, Iran merupakan sekutu penting Israel, namun revolusi mengubah sepenuhnya landskap hubungan kedua-dua negara.
Khomeini mengisytiharkan Israel sebagai ‘musuh Islam’ dan menyokong perjuangan Palestin dan sejak itu, Iran secara konsisten menyeru penghapusan negara Israel dari peta dunia.
Daripada itu, Israel melihat Iran sebagai ancaman utama terhadap keselamatan dan kestabilan serantau, lebih-lebih lagi dengan program nuklear Iran yang berkembang pesat.
Meskipun tiada perang terbuka secara langsung, konflik Iran-Israel sering tercetus melalui perang proksi, khususnya di Syria, Iraq dan Yaman. Kedua-dua pihak menyokong kumpulan bersenjata dan kerajaan yang berpihak kepada kepentingan masing-masing, memperhebatkan lagi ketegangan dan risiko konfrontasi langsung.
Faktor mendorong konflik
Iran menegaskan bahawa program nuklearnya adalah bagi tujuan keamanan, namun Israel dan beberapa negara Barat menganggap ia sebagai ancaman besar yang memperburukkan lagi ketegangan mereka. Kebimbangan terhadap kemungkinan Iran mencapai keupayaan nuklear mendorong Israel melancarkan pelbagai operasi sabotaj, termasuk serangan terhadap kemudahan nuklear Iran.
Dalam masa sama, Iran, memperkukuh pengaruhnya di Timur Tengah melalui sokongan terhadap kumpulan militan seperti Hizbollah di Lubnan, Hamas di Gaza, dan militan Syiah di Iraq serta Yaman. Bagi Iran, ini adalah strategi mempertahankan wilayah daripada pengaruh Barat. Sebaliknya, bagi Israel, ini adalah bentuk ancaman langsung terhadap keselamatannya.
Oleh itu, serangan Israel terhadap Iran, termasuk dalam konflik terkini di mana kepimpinan Netanyahu berhasrat menyasarkan kemudahan nuklear Iran, dengan menyekat keupayaan Iran membangunkan teknologi nuklear, walaupun atas penjanaan tenaga, menunjukkan betapa seriusnya persaingan kuasa ini walaupun Iran menegaskan programnya bertujuan penjanaan tenaga.
Kehadiran Kuasa Luar
Konflik yang berlaku bukan sahja melibatkan Iran-Israel, tetapi turut mengheret kuasa-kuasa besar dunia dalam percaturan geopolitik yang lebih luas. Amerika Syarikat secara tradisinya menjadi sekutu rapat Israel, menyediakan sokongan ketenteraan dan kewangan yang besar. Manakala Iran pula, menerima sokongan daripada Rusia dan China yang mahu mengekalkan keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Ketika pentadbiran Presiden Donald Trump, sokongan terhadap Israel diperkuat dengan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan penarikan diri daripada Perjanjian Nuklear Iran (JCPOA).
Sementara itu, Syria menjadi medan pertempuran tidak langsung antara Iran dan Israel, apabila Israel melancarkan serangan terhadap konvoi senjata Iran yang dihantar kepada Hizbollah, manakala Iran giat memperluas pengaruhnya di Syria. Kehadiran Rusia di Syria, yang bertindak sebagai penstabil kepada kerajaan Bashar al-Assad, menambah kerumitan dan risiko konfrontasi antara kuasa besar.
Usaha Mencapai Perdamaian
Mencapai perdamaian antara Iran dan Israel bukan tugas mudah, tetapi tidak mustahil. Perubahan dalam landskap politik global, terutamanya di Amerika Syarikat, boleh membuka ruang kepada rundingan. Kembalinya AS kepada JCPOA di bawah Presiden Joe Biden dilihat sebagai sinar harapan dalam meredakan ketegangan.
Selain itu, inisiatif seperti Abraham Accords yang menyaksikan Israel menjalin hubungan diplomatik dengan UAE dan Bahrain turut membuka lembaran baharu dalam kerjasama serantau, meskipun Iran kekal sebagai penghalang utama terhadap kestabilan tersebut.
Kesediaan kedua-dua pihak untuk mengutamakan kepentingan bersama melebihi ideologi, dan mempertimbangkan kebimbangan keselamatan masing-masing, adalah kunci kepada kestabilan jangka panjang. Namun, tanpa pemulihan kepercayaan, segala rundingan berisiko gagal sebelum bermula.
Di sebalik segala potensi penyelesaian, konflik Iran-Israel masih jauh daripada noktah damai. Ketegangan yang terus meningkat, campur tangan kuasa luar, dan sejarah permusuhan yang mendalam menjadikan kompromi satu laluan sukar.
Sama ada konflik ini akan menemui jalan damai atau membawa kepada konfrontasi berskala besar kekal sebagai persoalan terbuka. Namun yang pasti, setiap perkembangan dalam konflik ini akan terus mempengaruhi kestabilan rantau dan dunia secara keseluruhannya. -airtimes.my
#Airtimes #Konflik #Iran #Israel