Home DiskusiShahed 136: Umpan senyap Iran untuk mengelirukan Iron Dome

Shahed 136: Umpan senyap Iran untuk mengelirukan Iron Dome

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Ketika ruang udara Israel dihujani serangan dari pelbagai arah, perhatian dunia segera tertumpu kepada salah satu senjata yang digunakan Iran dalam serangan itu iaitu dron kamikaze Shahed 136.

Walaupun kecil, perlahan dan dibina menggunakan teknologi sedia ada, dron ini memainkan peranan besar dalam strategi serangan Tehran bukan semata-mata sebagai senjata penghancur tetapi sebagai umpan untuk mengaburi sistem pertahanan udara paling dikenali di dunia iaitu Iron Dome.

Serangan ini bukan sekadar bersifat konvensional tetapi satu pernyataan strategik bahawa teknologi murah dan efektif kini mampu mencabar dominasi ketenteraan negara yang selama ini bergantung kepada sistem pertahanan berbilion dolar.

Dron yang dicipta untuk tidak kembali

Shahed 136 ialah sejenis dron bunuh diri yang direka oleh syarikat milik kerajaan Iran HESA bersama Shahed Aviation Industries diklasifikasikan sebagai dron pendorong dengan sistem propeller belakang dan tidak memerlukan operator selepas dilancarkan.

Dron ini tidak direka untuk berpatah balik sebaliknya akan terus mencari sasaran sehingga meletup bersama peledaknya.

Reka bentuk ringkas Shahed 136 dengan propeller belakang dan saiz kompak menjadikannya sukar dikesan radar tetapi cukup untuk membawa bahan letupan merosakkan sasaran infrastruktur. Foto: Noghtezan.Info

Panjang badan dron ini sekitar 3.5 meter dengan rentang sayap 2.5 meter dan berat mencecah 200 kilogram, serta mampu membawa bahan letupan antara 30 hingga 50 kilogram cukup untuk menyebabkan kerosakan serius ke atas sasaran infrastruktur seperti pencawang elektrik depot bahan api dan kedudukan radar.

Namun keupayaan utamanya terletak pada jarak operasinya sehingga 2000 kilometer dalam konfigurasi tertentu yang membolehkan dron ini dilancarkan dari wilayah Iran untuk menyerang mana-mana lokasi strategik di Israel termasuk Pangkalan Udara Nevatim dan pusat ketenteraan di Negev.

Gangguan besar dengan kos kecil

Kelebihan utama Shahed 136 bukan terletak pada kuasanya sahaja tetapi pada ketidakseimbangan kos antara serangan dan pertahanan.

Kos pembuatan seunit dron ini dianggarkan hanya sekitar 30000 hingga 80000 dolar berbanding peluru berpandu pemintas Israel seperti Tamir yang berharga lebih sejuta ringgit setiap satu.

Maka apabila puluhan Shahed dilancarkan serentak Iron Dome terpaksa membelanjakan peluru bernilai tinggi untuk memintas setiap sasaran walaupun ada yang hanya umpan.

Ini menjadikan Shahed 136 sebagai alat peperangan yang menekan musuh dari segi logistik dan sumber satu strategi yang dikenali sebagai perang keletihan sumber.

Dron Shahed 136 disediakan di atas pelancar bergerak sebelum operasi. Konfigurasi mudah alih ini membolehkan serangan dilancarkan dari lokasi yang sukar dikesan. Foto X: Iran Observer

Ketika gelombang tindak balas Iran berlangsung dalam beberapa minggu terakhir , pelancar bergerak digunakan untuk menghantar kumpulan besar dron ini ke udara yang mengakibatkan gelombang yang padat cukup untuk memenuhi radar Iron Dome dan sistem pemintas yang lain.

Walaupun ramai yang berjaya dipintas ada sebahagian kecil yang melepasi pertahanan dan melaksanakan misi mereka satu kejayaan yang cukup bermakna dari sudut operasi strategik.

Mengelirukan, bukan sekadar menyerang

Shahed 136 menjadi sangat berguna apabila digunakan sebagai gangguan taktikal kerana kelajuan dron yang perlahan mudah dikesan secara akustik dan visual tetapi bukan mudah untuk dikesan oleh radar berfrekuensi tinggi.

Selain itu, bunyi enjin piston yang menyerupai motosikal kecil telah pun menjadi simbol ketakutan dalam banyak konflik peperangan termasuk Ukraine dan Israel.

Lebih penting kehadiran puluhan hingga ratusan dron secara serentak mengalihkan fokus sistem pertahanan udara yang mengakibatkan radar pihak musuh akan mengesan sasaran yang banyak manakala sistem komputer terpaksa membuat keputusan pantas dron manakah membawa ancaman sebenar dan mana pula yang hanya umpan terbang.

Shahed 136 digunakan sebagai umpan terbang yang memperdaya sistem Iron Dome, membolehkan peluru berpandu sebenar seperti Fateh 110 dan Zolfaghar melepasi pertahanan dan menyerang sasaran utama. Foto X: m.u

Strategi ini digunakan Iran untuk membuka laluan kepada peluru berpandu balistik yang lebih berbahaya seperti Fateh 110 dan Zolfaghar sambil Iron Dome sibuk menangkis dron berbanding peluru berpandu sebenar yang bergerak pantas ke sasaran utama.

Diperkukuh dengan teknologi luar

Walaupun asalnya buatan Iran analisis ke atas sisa Shahed 136 yang ditembak jatuh menunjukkan penggunaan komponen dari pelbagai negara termasuk pemproses dari Amerika Syarikat pam bahan api dari Eropah Timur dan cip kuasa dari Asia Timur.

Ini menunjukkan bagaimana Iran menggunakan komponen komersial untuk membina senjata berkesan tanpa perlu bergantung kepada sistem milik ketenteraan.

Dalam tindak balas terkini terhadap Israel, beberapa unit dipercayai telah dinaik taraf dengan sistem komunikasi selular dan satelit serat ada yang dilengkapi SIM Iridium dan modem 4G menunjukkan potensi kawalan luar talian sekaligus membuka kemungkinan penggunaan panduan masa nyata atau pemindahan data terus dari udara.

Selain itu laporan dari lapangan menunjukkan ada unit yang dilengkapi dengan bahan letupan jenis termobarik dan serpihan tungsten membolehkan kesan letupan lebih meluas ke atas sasaran terbuka.

Simbol perang masa depan

Penggunaan Shahed 136 oleh Iran bukan hanya menunjukkan kemajuan teknologi tempatan tetapi juga perubahan dalam doktrin ketenteraan.

Dalam dunia yang dibanjiri sistem pertahanan udara tercanggih, Iran mempertaruhkan kuasa angka dengan barisan Shahed 136 yang kecil perlahan dan senyap namun mampu mencetuskan impak besar serta menanam tekanan psikologi berterusan ke atas musuh. Foto: Noghtezan.Info

Dalam dunia yang dipenuhi sistem anti-rudal tercanggih Iran memilih jalan lain menyerang dengan kuantiti memenatkan musuh dengan kos rendah dan menanam kebimbangan psikologi melalui serangan yang sukar dijangka.

Ini bukan kali pertama Shahed 136 digunakan secara besar-besaran. Sebelum ini ia telah digunakan oleh Rusia dalam perang Ukraine oleh Houthi di Yaman dan dipercayai turut digunakan dalam beberapa siri serangan ke atas kapal dagang di Teluk Oman.

Namun serangan balas ke atas Israel pada 2025 menjadi titik perubahan. Ia mengesahkan bahawa dron ini bukan sekadar ancaman teknikal tetapi juga simbol perubahan dalam landskap peperangan serantau di mana kuasa menengah seperti Iran mampu mencabar keupayaan pertahanan negara seperti Israel melalui strategi pintar dan teknologi minimum.

Shahed 136 membuktikan keupayaan Iran membangunkan senjata efektif berasaskan sumber terhad. Ia turut mengangkat martabat dron sebagai alat taktikal yang mampu mengubah rentak sesuatu konflik.

Ketika sistem pertahanan udara terus dibangunkan oleh kuasa besar ancaman sebenar mungkin datang dalam bentuk yang kecil perlahan dan hampir senyap tetapi cukup untuk mencetuskan impak besar.-airtimes.my

#AirTimes #Iran #Israel #Shahed136 #IronDome #PertahananUdara #DronKamikaze #PerangTeknologi #StrategiKetenteraan #KonflikTimurTengah

 

 

Related Articles

Leave a Reply