KUALA LUMPUR, 29 MEI – Kemahiran bakat tempatan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan merupakan elemen teras dalam memastikan ekosistem dron negara kekal lestari, khususnya dalam konteks keselamatan dan pertahanan.
Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Profesor Shamsul Kamar Abu Samah berkata, pelaburan dalam bakat tempatan terutama dalam kalangan belia, teknologis dan usahawan adalah langkah strategik untuk memacu sektor aeroangkasa dan teknologi dron, termasuk penggunaannya dalam aplikasi ketenteraan dan keselamatan awam.
“Pembangunan keupayaan teknologi tanpa manusia yang berkemahiran hanyalah ilusi. Justeru, kita mesti melengkapkan generasi akan datang dengan kemahiran yang relevan,” katanya semasa majlis pelancaran DronTech Asia 2025, hari ini.
“Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, NAICO telah menganjurkan Pioneer Aerospace Talent Challenge bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.
Ujarnya, cabaran itu menghimpunkan pelajar sekolah dan universiti dari seluruh negara untuk menyertai aktiviti berasaskan STEM termasuk perlumbaan e-drone, reka bentuk dan pembangunan UAV.
“Pendekatan ini dilihat mampu mempercepatkan pembangunan barisan bakat strategik negara,” katanya.
Jelasnya lagi, inisiatif sebegini penting dalam melahirkan tenaga pakar masa depan yang mampu menyokong ekosistem teknologi tinggi, termasuk sektor pertahanan yang semakin bergantung kepada sistem tanpa pemandu bagi misi ISR, rondaan maritim dan kawalan sempadan.
Selain itu, DronTech Asia 2025 dianggap sebagai platform utama bagi mempamerkan keupayaan industri tempatan dalam bidang UAV, di samping membina jaringan strategik serantau dalam usaha menjadikan Malaysia antara peneraju teknologi dron di Asean.
“Sebagai rakan strategik penganjur, NAICO Malaysia turut memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan industri aeroangkasa negara melalui fasilitasi dasar, penyelarasan pelaksanaan, dan penglibatan aktif bersama pemain industri.
“Inisiatif ini adalah selari dengan mandat kami di bawah Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB2030), yang menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau,” tambah beliau. -airtimes.my
#Pertahanan #TeknologiDron #NAICO #DronTechAsia2025 #Malaysia #airtimes
