KUALA LUMPUR, 20 MAC – Kerajaan terutamanya Kementerian Pertahanan, sentiasa aktif dalam diplomasi pertahanan melalui penyertaan forum serantau dan antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian juga menyelaraskan postur pertahanan negara selaras dasar keselamatan dan keutamaan dasar luar negara.
“Malaysia aktif dalam forum keselamatan seperti Shangri-La Dialogue, ADMMPlus, dan FPDA (Five Power Defence Arrangements) bagi membincangkan pendekatan kolektif dalam menangani cabaran keselamatan serantau,” katanya.
Beliau menjelaskan, usaha itu bertujuan memperkukuh kerjasama keselamatan dan pertahanan dengan negara-negara lain, serta memastikan kestabilan serantau.
Justeru, dalam mendepani situasi geopolitik yang semakin tegang serta ancaman semakin kompleks, MINDEF mengambil pelbagai pendekatan strategik dalam memastikan keselamatan negara.
“Kementerian Pertahanan sentiasa memantau perkembangan ancaman global dan menyesuaikan strategi pertahanan untuk menghadapi ancaman baharu seperti serangan siber, keganasan, dan ancaman bukan tradisional lain,” nyatanya.
Dengan itu, pembangunan dan pemodenan kemudahan ketenteraan serta penambahan aset pertahanan yang canggih antara pendekatan kesiapsiagaan negara bagi memperkukuh infrastruktur pertahanan.
“Penggunaan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI), diperkenalkan bagi meningkatkan keupayaan pemantauan dan kawalan sempadan. Ini membantu dalam menangani jenayah rentas sempadan dan penyeludupan melalui lorong tikus dan laluan haram,” ujarnya.
Pada masa sama, Khaled turut menegaskan, kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui operasi keselamatan bersama dan latihan intensif digalakkan.
“Pendekatan ini memastikan koordinasi yang efektif dalam menghadapi sebarang ancaman terhadap keselamatan negara,” katanya dalam penyataan jawapan lisan di Dewan Negara.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga berperanan dalam menyelaraskan dasar keselamatan negara serta memastikan pelaksanaannya di semua peringkat kerajaan.
“Majlis ini bertanggungjawab dalam memantau dan menilai ancaman keselamatan serta mengeluarkan arahan yang diperlukan kepada agensi pelaksana yang berkenaan untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” jelasnya lagi, di mana pihak ATM juga merupakan salah satu agensi utama yang menganggotai MKN.
Dalam menyumbang kepada usaha menjaga kedaulatan negara, Kerajaan mengambil pendekatan pertahanan menyeluruh (HANRUH) bagi memastikan setiap entiti dan semua pihak untuk turut terlibat.
Beliau berkata demikian, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Senator Tuan Amir Md Ghazali berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian bagi memastikan keselamatan negara terjamin dalam situasi geopolitik yang semakin tegang. -airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #MINDEF #ATM #geopolitik #ASEAN #Malaysia