KUALA LUMPUR, 14 MAC – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah pembangunan dan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), merangkumi peningkatan keupayaan operasi dan pembangunan teknologi ketenteraan dalam usaha merealisasikan Angkatan Masa Hadapan (AMH) menjelang 2030.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya juga mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan proses perolehan aset-aset strategik yang lain.
Antaranya, perolehan pesawat FA-50M, kapal kapal misi pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) Batch 2 serta pesawat Legacy Hornet Kuwait Air Force (KAF) bagi memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara.
“Selain itu, bagi menggantikan kenderaan perisai usang untuk kegunaan Malaysian Battalion (MALBATT) di Lebanon, kerajaan telah menerima 20 buah High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV) pada tahun 2023, manakala 50 unit HMLTV lagi sedang dalam proses perolehan,” katanya.
Sehubungan itu, ATM, MINDEF melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) telah menetapkan hala tuju jelas dalam menjadikan ATM sebagai AMH lebih bersepadu, tangkas, dan berfokus.
“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keselamatan dan kedaulatan negara, terutamanya dalam menghadapi cabaran keselamatan semakin kompleks dan dinamik,” katanya dalam Pemberitahuan Pertanyaan Lisan Dewan Negara.
Beliau bekata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Senator Tuan Amir Md mengenai adakah ATM telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan serangan atau ancaman keselamatan.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, ATM telah menyediakan dokumen strategik seperti Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (SKN 2.0) dalam memandu proses transformasi tersebut.
“Setiap cabang ATM, iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menyediakan pelan pembangunan keupayaan masing-masing iaitu Army4NextG, RMN #15to5, dan RMAF CAP55,” kata Mohamed Khaled.
Jelasnya, transformasi ATM itu bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan negara kekal terpelihara, terutama dalam menghadapi ancaman yang tidak dijangka.
Dalam pada itu, Khaled menegaskan, sokongan bajet yang berterusan dan progresif amat diperlukan dalam memastikan pelaksanaan transformasi berjalan dengan lancar.
“Proses pemodenan ketenteraan ini melibatkan rancangan perolehan aset-aset strategik ATM seperti Light Combat Aircraft (LCA), Littoral Mission Ship (LMS), Littoral Combat Ship (LCS), Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) dan Maritime Patrol Aircraft (MPA) yang bertujuan untuk memperkasakan kesiapsiagaan dan keupayaan aset pertahanan negara,” ujarnya lagi.
Tambahnya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bajet pertahanan yang mencukupi bagi memodenkan ATM, agar kekal relevan, tangkas, dan berkeupayaan dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks. -airtimes.my
#AirTimes #ATM #Pertahanan #MINDEF #Malaysia