KUALA LUMPUR, 14 MAC – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewujudkan sinergi baharu agar ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) Pertahanan terus maju.
Beliau berkata, ia perlu bagi memastikan kemajuan pertahanan negara ke hadapan seiring perubahan serta kecanggihan teknologi masa kini.
“Keutamaan yang perlu diambilkira kepimpinan dan pengurusan, pastinya terkait status aset pertahanan, latihan, kebajikan, kerjasama dan kebersamaan seluruh pihak selain mengenalpasti masalah atau isu yang berbangkit dalam mencari penyelesaian tuntas,” katanya dalam hantaran dilaman Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu, Anwar telah membuat kunjungan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang bagi sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi MINDEF dan ATM untuk mendapatkan perkembangan terkini terkait kesiapsiagaan pertahanan negara.
Dalam kunjungan tersebut, Anwar sempat beramah mesra dengan juruterbang-juruterbang yang terlibat di dalam pelbagai acara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti sambutan Hari Kemerdekaan serta siri pameran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap kemampuan dan kecekapan anak tempatan dalam mengendalikan pesawat canggih serta moden, yang menurutnya membuktikan tahap kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap terbaik. -airtimes.my
#AirTimes #pertahanan #aset #Khaled #Malaysia #ATM #Mindef