CHERAS, 15 Mac – Wira VAT 69 yang mengetuai banyak operasi dan menembak mati pengganas komunis semasa era Insurgensi, Senior Asisten Komisioner (Bersara) Dato’ Mohd Rani Abd Rashid kini dalam keuzuran.
Keadaan kesihatan beliau dimaklumkan menerusi laman media sosial Persatuan Veteran VAT 69 Komando (PVV69K).
Sebagai tanda prihatin, satu sesi ziarah telah dilakukan barisan kepimpinan PVV69K ke atas Mohd Rani, 75.
Beliau sedang dirawat di Wad 7G (Wad Eksekutif) Oncology Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat penyakit kanser paru-paru.
Kedua-dua urat kaki beliau dimaklumkan telah dibedah dan ditampal bagi membantu pergerakan saraf bahagian belakang badan.
Hadir semasa ziarah tersebut ialah Yang Dipertua PVV69K, Dato’ Abd Rashid Harun dan Timbalan Komander 69 Komando, ACP Rosman Kasman.
Mohd Rani juga adalah mantan Yang Dipertua PVV69K.
Mohd Rani merupakan veteran VAT 69 Komando yang menyertai pasukan itu sejak 1969 hingga 2006 dan pernah menjawat sebagai Ketua Trafik Pasukan PDRM, UTK.
Sepanjang tempoh itu banyak kejayaan yang telah dicapai.
Beliau telah terlibat secara langsung mengetuai operasi menjejak pengganas komunis antara tahun 1971 hingga 1989 iaitu semasa era kemuncak pemberontakan bersenjata.
Dalam Operasi Indera 12/Indera Khas di Bentong, Pahang pada 1980, pasukan VAT 69 yang diketuai Mohd Rani berjaya menembak mati lapan pengganas komunis semasa pertempuran.
Ini termasuk seorang pengganas yang dijejak sejauh 300 meter di dalam hutan setelah cuba meloloskan diri.
Pengalaman semasa operasi ini telah beliau kongsikan dalam buku bertajuk Pertempuran Di Hutan terbitan sebuah syarikat tempatan pada tahun 2022.
Buku ini merupakan catatan dan biografi Mohd Rani dalam usaha beliau dan wira-wira VAT 69 lain menentang pengganas komunis.
Buku ini turut merekodkan riwayat para pejuang 69 Komando yang telah gugur.
Sama-sama kita memanjatkan doa kepada Allah SWT agar Mohd Rani diberikan kesembuhan.-airtimes.my
#vat69 #wira #PDRM #Malaysia #airtimes