Home Pertahanan dan Keselamatan Nilai dan keberkesanan PLKN 3.0 akan terus dipantau – Khaled Nordin

Nilai dan keberkesanan PLKN 3.0 akan terus dipantau – Khaled Nordin

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 13 FEB – Nilai dan keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan terus dipantau secara berkala dari masa ke semasa.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, pendekatan tersebut melibatkan penilaian dalaman oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Selain itu, turut melibatkan institusi akademik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan badan penyelidikan, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

“Mekanisme pemantauan yang melibatkan evaluasi dalaman oleh JLKN dan evaluasi luaran oleh UPSI serta IYRES, memastikan keberkesanan PLKN 3.0 dinilai secara menyeluruh, bukan sahaja semasa pelaksanaan tetapi juga dari segi impak jangka panjang terhadap peserta,” kata Khaled Nordin dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen.

Tambahnya, langkah tersebut bertujuan memastikan program mencapai objektifnya dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, patriotik, dan bersatu padu serta penilaian dalaman dilakukan melalui pemantauan semasa program.

Pemerhatian langsung di kem latihan, laporan harian daripada jurulatih dan maklum balas peserta dikumpulkan untuk menilai keberkesanan modul yang dijalankan.

Di samping itu, sistem pemarkahan dan penilaian modul digunakan bagi mengukur prestasi peserta dalam aspek disiplin, kerjasama dan pencapaian latihan fizikal.

Pada masa sama, sebarang kekurangan atau isu yang timbul akan segera ditangani  melalui mekanisme penambahbaikan berterusan.

Selain itu, pangkalan data alumni juga diwujudkan untuk memantau penglibatan bekas peserta dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertahanan negara bagi menambah baik modul latihan dan pendekatan pelaksanaannya pada masa hadapan.

“Data ini dianalisis oleh JLKN bersama UPSI dan IYRES untuk menilai keberkesanan program dalam mencapai objektifnya,” katanya, mekanisme susulan seperti kajian soal selidik berterusan, tinjauan impak, dan temubual mendalam juga akan dilakukan ke atas bekas peserta.

Penyelidikan tersebut melibatkan kajian soal selidik, temubual dan analisis data dalam menentuan sejauh mana penghayatan nilai-nilai perpaduan, patriotisme dan tanggungjawab sosial diterapkan kepada peserta menerusi program tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, JLKN turut menjalankan audit kualiti modul dalam memastikan pelaksanaannya selaras dengan objektif program.

PLKN 3.0 ini dirangka secara menyeluruh, melibatkan pelbagai pihak dan kaedah penilaian termasuk pemantauan semasa program, penilaian berterusan, serta pengukuran impak selepas tamat program.

IYERS merupakan badan penyelidikan memfokuskan pembangunan belia, menjalankan kajian impak jangka panjang terhadap peserta selepas tamat program dengan menggunakan pendekatan data longitudinal bagi memantau perkembangan peserta dalam tempoh tertentu sekaligus memberi gambaran menyeluruh keberkesanan PLKN 3.0 dalam membentuk belia bedaya tahan dan berintegriti.

Justeru, pendekatan ini membolehkan kementerian mengenal pasti kekuatan dan kelemahan program, sekali gus memperkukuhkan usaha melahirkan generasi muda yang berdisiplin, patriotik, dan bersatu padu untuk membina masa depan negara. -airtimes.my

#AirTimes #PLKN3.0 ##JLKN #UPSI #IYERS #Pertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?