KUALA LUMPUR, 13 FEB – Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya boleh terus berkhayal dengan cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, tiada peruntukan khusus yang menyediakan tatacara pengurusan agama selain Islam di peringkat Persekutuan.
Ujarnya, Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3, manakala Perkara 11 pula menjamin kebebasan beragama untuk semua.
“Pandangan dan cadangan boleh sahaja dibuat, tetapi akhirnya Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya,” katanya menerusi kenyataan bertulis pada Khamis.
Tambah beliau, meskipun ada yang berpendapat Perlembagaan boleh dipinda, hakikatnya sebarang pindaan melibatkan kedudukan Islam dan Melayu memerlukan lebih daripada sekadar majoriti dua pertiga atau minimum 148 Ahli Parlimen.
Jelasnya, yang paling penting ialah pindaan berkenaan mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Ya, pelembagaan boleh dipinda. Namun dalam hal melibatkan kedudukan Islam dan Melayu, syarat meminda bukan sahaja Ahli Parlimen mesti cukup minima 148 orang (dua per tiga majoriti). Paling penting mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
“DAP hanya memiliki 40 kerusi Parlimen. Jadi, mereka boleh sekadar berkhayal sahaja jika bercadang mahu mengubah kedudukan Islam dalam Perlembagaan,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Asyraf menegaskan, kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara Islam harus dihormati, justeru tiada keperluan untuk melantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam.
Tegasnya, berbanding usul tidak realistik ini, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha memastikan kepentingan semua kaum dan agama terjaga.
“Hormati Perlembagaan perkara 3 kedudukan Islam dan Raja-raja Melayu pemelihara Islam. Tiada keperluan wujudkan Menteri Hal Ehwal Agama lain. Menteri perpaduan yang patut jalankan kerja.
Beliau turut mengingatkan, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan telah menandatangani perjanjian untuk tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-Bumiputera, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam, semalam. – airtimes.my
#AgamaIslam #MenteriAgamaBukanIslam #Malaysia #Pindaan #Pelembagaan