Dalam setiap misi keamanan, penerimaan masyarakat setempat terhadap kehadiran pasukan pengaman adalah kunci kepada keberkesanan operasi.
Bagi Malaysian Battalion, (MALBATT) 850-11, elemen budaya dan keagamaan, termasuk pakaian bertudung yang dipakai oleh anggota wanita telah memainkan peranan penting dalam usaha menjalin hubungan erat dengan penduduk di selatan Lubnan.
Pegawai Staf II Civil Military Coordination (CIMIC), Leftenan Komander Siti Aisyah Jusoh TLDM berkata, penduduk di Lubnan melihat pasukan MALBATT seperti sebahagian daripada komuniti mereka, terutama anggota wanita yang bertudung.
“Penduduk di sini menerima MALBATT dengan sangat positif, mungkin kerana kita berkongsi latar belakang Islam. Imej anggota wanita yang bertudung sama juga seperti penduduk setempat juga menjadikan penerimaan itu lebih mudah,” katanya kepada Air Times baru-baru ini.
Kontinjen MALBATT 850-11 diketuai oleh Kolonel Burhan Sagoni, terdiri daripada 853 anggota iaitu 82 pegawai dan 771 anggota telah selamat pulang ke tanah air secara berperingkat mulai 9 November lalu.
Kontinjen ini turut disertai oleh 3 pegawai dan 26 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB), dan Pembubaran MALBATT 850-11 telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, di Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA), pada 12 Disember lalu.

Dalam suasana operasi mencabar, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman memuji kontinjen MALBATT 850-11 kerana berjaya mengekalkan reputasi sebagai pasukan pengaman yang dihormati oleh masyarakat setempat dan komuniti antarabangsa. Foto: AirTimes/N.Huda
MALBATT 850-11 menghadkan program CIMIC demi keselamatan pasukan
Mengulas lanjut, Siti Aisyah menegaskan bahawa persamaan budaya ini telah menjadi jambatan untuk hubungan yang lebih erat meskipun aktiviti sosial terpaksa dihadkan demi menghormati situasi konflik di Lubnan.
Malah, pemimpin setempat tidak teragak-agak memberikan kerjasama setiap kali MALBATT mencadangkan program atau pertemuan, walaupun dalam suasana tegang.
Walau bagaimanapun, tiada penugasan yang bebas daripada cabaran.
Ujar Aisyah, konflik yang semakin meruncing menjelang penghujung penugasan selama setahun, memaksa mereka menghadkan pelbagai aktiviti yang dirancang demi keselamatan pasukan.
“Aktiviti saya sendiri pun memang diarahkan untuk dihentikan di mana tiada lagi aktiviti-aktiviti bersama penduduk tempatan dan tarikh balik dan sebagainya memang tak dapat dipastikan,
“Kami diarahkan kekal dalam kem dan keadaan agak berlainan dibandingkan sebelum bulan 7. Setiap hari kita dengar bunyi bom. Ada hari kami perlu berlindung di bunker akibat ancaman serangan berhampiran,” ujarnya lagi.
Pengalaman ketika bertugas
Menceritakan detik cemas, katanya, kepulan asap dan letupan bom yang dahulunya jauh semakin kerap berlaku berhampiran kem penempatan.

Bila kami jejak semula tanah Malaysia, rasa syukur itu tak dapat digambarkan. Malaysia terlalu aman berbanding dengan apa yang kami saksikan di Lubnan – Leftenan Komander Siti Aisyah Jusoh TLDM. Foto: AirTimes/N.Huda
“Sebelum ini, bunyi bom dan asap serangan masih jauh dari kawasan kami. Tetapi menjelang hujung penugasan, serangan-serangan itu semakin hampir ke kawasan kem,” katanya.
Meskipun begitu, semangat anggota MALBATT tetap teguh. Walaupun dihimpit kebimbangan, mereka percaya kepada tahap keselamatan yang disediakan di kem tentera.
“Walaupun risau, ada rasa selamat bila berada dalam kem. Tapi, dalam hati, semua berharap dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” tambahnya.
Pengalaman tersebut turut membuka mata anggota MALBATT terhadap realiti kehidupan di zon konflik.
“Bila kami jejak semula tanah Malaysia, rasa syukur itu tak dapat digambarkan. Malaysia terlalu aman berbanding dengan apa yang kami saksikan di Lubnan,
“Penduduk di sana terpaksa menyesuaikan diri hidup dalam konflik setiap hari, sedangkan kita di sini begitu bertuah,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #MALBATT #Lubnan #Malaysia #kebersamaan
