Negara paling miskin dan mundur di Asia Tenggara, Myanmar pada Selasa lalu melancarkan kapal frigat terbaharu dan paling moden dalam armadanya, UMS King Thalun.
Dalam majlis gilang gemilang tersebut, frigat sepanjang 135 meter dengan berat 3,500 tan menjadi kapal perang terbesar yang dibina oleh limbungan perkapalan kerajaan.
Pelancaran frigat itu juga bersempena sambutan ulang tahun ke-77 Tentera Laut Myanmar.
Pengoperasian frigat ini menunjukkan Myanmar bersedia melangkah lebih jauh untuk menjadi angkatan laut masa hadapan.
Di bawah seliaan Tentera Laut Myanmar, projek pembinaan di Thnylin Naval Dockyard itu mengambil masa hampir tujuh tahun apabila dimulakan pada tahun 2017.
Sepertimana yang diketahui umum, Myanmar di bawah kerajaan junta tentera turut berdepan dengan sekatan ekonomi antarabangsa diketuai Amerika Syarikat.
Myanmar juga sedang berdepan dengan konflik perang saudara.
Justeru, keupayaan negara itu menyiapkan pembinaan kapal ini mencatat sejarah tersendiri.
Ini kerana walaupun dikenakan sekatan ekonomi antarabangsa termasuk melibatkan pembelian ketenteraan, Myanmar masih mampu mendapatkan sumber-sumber melalui saluran lain.
Dipercayai pembinaan frigat ini mendapat bantuan China kerana sepertimana umum sedia maklum, negara tembok besar itu merupakan pembekal utama kelengkapan tentera selain Rusia.
Ini dapat dilihat berdasarkan rekaan frigat serta sistem persenjataan pada kapal.
Frigat ini dilengkapi 16 silo sistem pelancar peluru berpandu pertahanan udara secara menegak (VLS) HQ-16 buatan China.
Ia juga mempunyai peluru berpandu antikapal Kh-53E dan roket antikapal selam RBU-6000.

UMS King Thalun sepanjang 135 meter dengan berat 3,500 tan menjadi kapal perang terbesar yang dibina oleh limbungan perkapalan kerajaan Myanmar.
Frigat mempunyai geladak pendaratan helikopter jenis Ka-28 helicopter selain boleh mengoperasikan Schiebel Camcopter S-100 UAV.
Spesifikasi ini menunjukkan sejauhmana kepimpinan tentera laut Myanmar meletakkan hala tuju pemodenan armadanya.
Pembinaan kapal UMS King adalah secara modular dengan 34 blok utama dan 15 struktur kapal yang disiapkan secara berasingan sebelum dicantum.
Kaedah ini membolehkan proses pembinaan kapal lebih cepat kerana bahagian-bahagian kapal dibina secara serentak.
Selain frigat UMS King Thalun, tentera laut Myanmar juga menerima secara rasmi dua kapal serang laju antikapal selam iaitu UMS Yan Min Aung dan UMS Yan Zwe.
Kedua-dua kapal sepanjang 63 meter ini ditauliahkan pada Disember 2020.
Kapal kelas Yan Nyein Aung ini dibina limbungan kapal Myanmar untuk menggantikan 10 kapal pemburu kapal selam kelas Hainan buatan China yang telah usang.
Kebolehan limbungan perkapalan kerajaan Myanmar ini melaksanakan projek pembinaan kapal sehingga siap sangat membanggakan.
Ini kerana lebih 10 buah kapal perang pelbagai jenis berjaya dibina secara berdikari atau mendapat sokongan pihak ketiga.
Situasi tersebut adalah tidak jauh berbeza dengan kebanyakan negara termasuklah Malaysia.
Projek LCS TLDM yang berdepan kelewatan juga dibantu Perancis kerana dibina berasaskan rekaan korvet kelas Gowind.
Semasa projek frigat Myanmar bermula pada tahun 2017, kapal LCS KD Maharaja Lela telah pun dilancarkan dan sepatutnya siap 2 tahun kemudian.
Sehingga projek LCS diselamatkan oleh kerajaan pada tahun 2022 pun, isu rekabentuk terperinci kapal tersebut tertangguh dan terpaksa mengambil masa lebih panjang disiapkan.

Mengikut perancangan kapal LCS yang pertama akan diserahkan kepada pihak TLDM pada bulan Ogos 2026.
Memiliki saiz dua kali ganda lebih besar berbanding Malaysia, namun ekonomi Myanmar tidak setanding kerana ia bukanlah sebuah negara industri.
Sumber ekonomi Myanmar adalah pertanian selain mempunyai sumber mineral.
Terdapat kira-kira 200,000 orang warga Myanmar yang bekerja di Malaysia terutamanya sebagai buruh atau pekerja kelas bawahan tidak termasuk ribuan pelarian.
Dalam bahasa mudah, sesuatu perlu dipelajari melalui iltizam Myanmar untuk membangunkan pertahanan negaranya secara berdikari.-airtimes.my
#pertahanan #duskusi #Malaysia #Myanmar #aset #TLDM