Home Pertahanan dan Keselamatan Misi pencarian anggota TDM akan diteruskan – PAT

Misi pencarian anggota TDM akan diteruskan – PAT

by Zulhaizi Rosdi

PORT DICKSON, 12 DIS – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota tentera yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, Perak akan diteruskan.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, misi pencarian Lans Koperal (LKpl) Ahmad Zulhilmi Ahmad Tarmazi masih diteruskan sehingga kini.

“Anggota tentera akan terus melaksanakan misi pencarian dan setakat ini kita masih belum membuat sebarang keputusan walaupun mempunyai tempoh pencarian selama 14 hari.

“Kebiasaannya tempoh misi menyelamat ini adalah selama 14 hari, namun kita akan teruskan operasi sehingga komander operasi membuat keputusan untuk memberhentikan misi ini,” katanya.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyampaikan ucapan Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-11 di Pusat Asas Tentera Darat (Pusasda)

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas Perbarisan Penganugerahan Pingat PNBB dan Pembubaran MALBATT 850-11 di Pusat Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

“Sekiranya misi ini mendapat petunjuk baharu, maka ianya akan diteruskan.

“Operasi SAR ini juga dilakukan di sekitar tempat kejadian dari Sungai Merah sehingga sepanjang Sungai Perak,” katanya.

Dalam masa sama, Mohammad meminta agar pihaknya diberi ruang untuk terus melaksanakan misi ini sekaligus berharap agar mangsa ditemui secepat mungkin.

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan dalam Operasi Kota Echo/Foxtrot Siri 6/2024.

7 anggota lain ditemukan selamat kira-kira 12.30 tengah hari pada hari kejadian, namun Ahmad Zulhilmi yang bertugas di 22 Komando di Kem Iskandar Mersing serta LKpl Mohd Afandi Jahwin daripada pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, hilang.

TDM kemudiannya telah menggerakkan 7 Tim Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk mengesan seorang anggotanya yang masih hilang ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah,di Permatang, sempadan Malaysia-Thailand.

Bagaimanapun, mayat Mohd Afandi ditemui meninggal dunia oleh pasukan penyelamat pada 1 Disember lalu kira-kira 3 kilometer dari markas operasi. -airtimes..my

#hilang #operasiSAR #TDM #ATM #GGK #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!