KUALA LUMPUR, 13 Dis – Pos Rapak Baru menjadi simbol komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperkukuh kawalan sempadan negara di kawasan strategik antara Malaysia dan Indonesia.
Terletak di bawah tanggungjawab Operasi AWAS/KERIS PARANG, pos ini direka untuk mengimbangi keberadaan pos-pos Tentera Nasional Indonesia (TNI) di sepanjang sempadan, sekaligus meningkatkan keupayaan keselamatan negara.
Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, pembinaan pos ini telah selesai sepenuhnya pada Oktober 2023 oleh Skuadron Ke-3 Rejimen Askar Jurutera Diraja, dengan operasinya bermula sejak Mac 2024.
Lokasinya yang strategik membolehkan pemantauan rapi dilakukan terhadap sempadan serta tindakan pantas diambil untuk menangani aduan atau kejadian jenayah.
Menurut TDM, Pos Rapak Baru dilengkapi dengan infrastruktur moden dan kemudahan logistik yang canggih.
“Kemudahan ini memastikan keselesaan anggota bertugas selain memperkukuh kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi pelbagai cabaran,
“Pos baru ini juga sebagai penempatan strategik untuk mempertingkatkan operasi pemantauan sempadan sambil membina hubungan erat antara ATM dan komuniti setempat,” jelas TDM dalam hantaran dilaman Facebooknya.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman telah menyempurnakan acara Perasmian Pos Rapak Baru, Pantu Sarawak pada Rabu lalu.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Tambah TDM, perasmian Pos Rapak Baru ini melambangkan usaha berterusan ATM untuk memastikan keselamatan dan kestabilan negara terus terjamin.
“Ia sekaligus mencerminkan kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan,” jelas hantaran itu.
Dengan pelancaran ini, ATM menunjukkan kesungguhan dalam mempersiapkan barisan pertahanan yang lebih kukuh dan bersedia menghadapi sebarang ancaman demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.-airtimes.my
#ATM #TDM #pertahanan #sempadan #poskawalan #Malaysia #Indonesia