Tidak dinafikan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini giat memodenkan aset pertahanannya, termasuk perolehan sebanyak 18 pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Aerospace Industries (KAI), dron pemantauan serta kapal perang seperti Littoral Combat Ships (LCS) namun jurang dalam kemampuan bertahan tanpa bantuan luar masih jelas.
Dalam pada itu, konflik di Afghanistan dan Ukraine memberikan perspektif penting tentang bagaimana sistem pertahanan udara jarak dekat seperti VSHORADS (Very Short Range Air Defence Systems) juga berkemampuan memberi impak besar dalam mempertahankan tanah air dan memaksa musuh menyusun semula strategi serangan udara mereka.
Sebagai contoh, dalam perang Afghanistan, pejuang gerila Islam Afghanistan telah menggunakan peluru berpandu Stinger, sejenis VSHORADS yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk memusnahkan helikopter Soviet seperti Mil Mi-24 Hind. Manakala, Ukraine pula menggunakan sistem seperti Igla dan Strela untuk menembak jatuh helikopter dan pesawat tempur Rusia yang beroperasi di ketinggian rendah.
Walaubagaimanapun, persoalannya, sejauh manakah Malaysia memerlukan lebih banyak aset pertahanan seperti ini? Selepas bebas daripada penjajahan British pada 1957, negara demokrasi ini berjaya melalui beberapa dekad kemerdekaan tanpa peperangan dan pertumpahan darah yang besar di tanah air.
Hakikatnya, ancaman moden semakin berkembang dan jauh berbeza berbanding 67 tahun lalu. Serangan udara daripada peluru berpandu atau ‘dron pembunuh’ misalnya, semakin kerap digunakan oleh pelbagai pihak, termasuk kumpulan pengganas dan militan dalam konflik Lubnan-Israel serta Palestin-Israel.
Oleh yang demikian, di sinilah sistem pertahanan udara jarak dekat iaitu VSHORAD memainkan peranan yang signifikan dan cukup penting untuk masa depan pertahanan negara.
Menurut laporan Army Recognition, Malaysia mula memperkenalkan VSHORAD melalui perolehan sistem Starburst pada tahun 1992, diikuti dengan perjanjian bersama syarikat Thales UK dan Global Komited (subsidiari Weststar Group) untuk membeli sistem Starstreak yang lebih canggih pada 2015 sebagai pengganti sistem Starburst yang menamatkan perkhidmatannya pada 2019.
Starstreak ialah peluru berpandu permukaan-ke-udara jarak dekat atau dikenali sebagai Sistem Pertahanan Udara Mudah Alih MAN (MANPADS) yang direka untuk bergerak tiga kali lebih pantas dari kelajuan bunyi serta menggunakan sistem tiga peluru seperti dart, membolehkan sararan ditembak secara bersamaan.
Sistem ini digunakan oleh ketiga-tiga cabang tentera termasuk Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana kemampuannya dalam mengesan, mengunci serta memusnahkan sasaran dengan ketepatan yang luar biasa dalam situasi perang.
Setakat ini, ATM dilengkapi dengan beberapa sistem pertahanan udara jenis VSHORAD atau MANPADS dan SHORAD seperti Igla, Starstreak dan Jernas.
Dari segi pengendalian pula, VSHORADS boleh digunakan oleh individu atau sepasukan kecil tentera terlatih untuk melancarkan peluru berpandu daripada pelancar mudah alih atau kenderaan taktikal seperti Land Rover sejauh 5 hingga 8 kilometer secara lazimnya.
Kombinasi antara dua aset berkemampuan berbeza ini dijangka memperkukuhkan “lapisan” pertahanan udara negara memandangkan sistem VSHORADS bertindak sebagai benteng pertama untuk serangan jarak dekat manakala pesawat tempur TUDM, sistem radar dan kapal perang TLDM boleh menumpukan sepenuh perhatian untuk menembak jatuh peluru berpandu balistik atau serangan peluru berpandu jelajah, yang biasanya dilancarkan dari jarak jauh dan memerlukan teknologi pertahanan berkapasiti tinggi untuk dikesan serta dihentikan.
Adalah menjadi satu kelebihan kepada Malaysia untuk menambah aset ketenteraan jarak dekat memandangkan dalam dunia yang semakin tidak menentu dengan peningkatan ancaman ketenteraan, pelaburan dalam sistem VSHORADS adalah satu keperluan, bukan lagi pilihan.
