Home Pertahanan dan KeselamatanTentera DaratPacuan 4 roda terbabas, penyeludup lari tinggalkan 628kg daun ketum

Pacuan 4 roda terbabas, penyeludup lari tinggalkan 628kg daun ketum

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA NERANG, 13 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum selepas sebuah pacuan 4 roda dan sebuah motosikal dinaiki suspek terbalik dipercayai akibat hilang kawalan ketika cuba melarikan diri di sempadan Malaysia-Thailand, pada petang Jumaat.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, beberapa suspek bertindak melarikan diri selepas dikejar pasukan operasinya dalam kejadian jam 3.30 petang di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Pasukan operasi telah mengesan sebuah kenderaan pacuan 4 roda dan 5 buah motosikal yang mengiringi kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand,

“Pasukan operasi cuba mengejar kenderaan tersebut yang dipandu secara merbahaya menyebabkan kenderaan dan sebuah motosikal mengalami kemalangan dan terbabas namun pemandu dan penunggang motosikal berjaya melarikan diri,” kata 2 Div dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut 2 Div, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan 4 roda tersebut mendapati 9 guni putih dan 33 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dengan berat keseluruhan seberat 628kg dan dianggarkan bernilai RM18,840.00.

Tambahnya, kesemua daun ketum tersebut dipercayai cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand melalui laluan tidak sah.

Keseluruhan barang rampasan termasuk kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal dianggaran bernilai sebanyak RM81,340.00. Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.-airtimes.my

#TDM #ketum #penyeludupan #airtimes #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply