DUBLIN, 6 OKT – Pasukan pengaman UNIFIL dari Ireland enggan meninggalkan pos kawalan mereka walaupun telah didesak oleh tentera Israel.
Permintaan dibuat oleh tentera Israel yang pada ketika ini sedang melancarkan operasi serangan darat yang didakwa ‘terhad’ di dalam Lubnan.
Malah, permintaan oleh Tel Aviv telah dibalas oleh kerajaan Ireland yang menegaskan penempatan anggota pengaman dari negara mereka adalah tertakluk kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui UNIFIL.
“Terdapat satu pos pengaman yang diduduki oleh kontinjen Ireland yang terletak di kawasan sempadan Lubnan-Israel,
“Pos tersebut dijaga oleh satu platun anggota pengaman Ireland yang menjalankan tanggungjawab mereka untuk memerhati sempadan dan melaporkan sebarang pencerobohan,” lapor media Ireland memetik sumber yang mengesahkan Israel telah meminta negara-negara anggota pengaman UNIFIL untuk mengundurkan tentera mereka.
Menurut laporan itu, kawasan yang ditugaskan kepada platun pengaman UNIFIL Ireland turut menyaksikan pertempuran sengit di antara Israel dan kumpulan bersenjata Lubnan, Hezbollah pada awal minggu ini.
“Terdapat pertempuran yang berlaku dalam kedudukan kuran 2 kilometer dari pos pengaman Ireland,” kata laporan itu.
Israel sebelum ini mengeluarkan amaran kepada pasukan pengaman UNIFIL untuk berundur dari sempadan. Ini sekaligus memberikan petanda bahawa Tel Aviv akan melancarkan pencerobohan berskala penuh di kawasan sempadan.
Semalam, Ketua Pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix berkata, pasukan tersebut terus bertahan di lokasi mereka serta berfungsi sebagai satu-satunya saluran komunikasi antara tentera Israel dan Lubnan.
“Penjaga keamanan PBB sedang berusaha keras untuk melaksanakan mandat Majlis Keselamatan dalam keadaan yang sangat mencabar,” katanya pada Khamis. – airtimes.my
#AirTimes #global #Unifil #Lubnan