Home Pertahanan dan KeselamatanTentera UdaraLATMA ELANG MALINDO: TUDM, TNI-AU persiap hadapi misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana

LATMA ELANG MALINDO: TUDM, TNI-AU persiap hadapi misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Latihan Bersama (LATMA) ELANG MALINDO 29/24 antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) telah dilaksanakan pada 23 hingga 27 September lalu.

TUDM menjelaskan, latihan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara serta meningkatkan kesiapsiagaan udara dalam usaha menjaga kestabilan di rantau ini.

Menurut Kolonel Pnb Asep Wahyu Wijaya, M.M.S. selaku Eksesais Direktor ELANG MALINDO 29/24 dari pihak TNI-AU , latihan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan keupayaan teknikal dan taktikal, tetapi juga untuk mempererat persahabatan antara kedua-dua tentera udara.

“Melalui Latma ELANG MALINDO, kami bukan sahaja bertukar pengetahuan dan pengalaman, malah membina kepercayaan dan kerjasama yang lebih erat dalam menjaga ruang udara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kolonel Mohmad Safhree Sidek TUDM selaku Eksesais Direktor daripada pihak TUDM menegaskan pentingnya LATMA ini dalam menghadapi cabaran keselamatan di rantau ini.

“Latihan ini meningkatkan keyakinan kedua-dua tentera udara dalam menangani pelbagai ancaman sama ada di peringkat nasional mahupun serantau,” jelas TUDM dalam kenyataan pada Khamis.

Anggota Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) sedang menjalani misi pencarian dan penyelamatan (SAR) dengan menggunakan aset NAS-332 Super Puma milik TNI-AU. Foto: TUDM

TUDM menegaskan, latihan yang diadakan di Pontianak, Kalimantan Barat ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan interoperabiliti kedua-dua tentera udara dalam melaksanakan operasi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).

“Antara operasi udara yang dijalankan termasuk misi pencarian dan penyelamatan (SAR) dengan menggunakan aset helikopter EC725AP milik TUDM dan NAS-332 Super Puma milik TNI-AU,

“Selain operasi, sesi pertukaran kepakaran antara skuadron helikopter serta aktiviti sosial seperti perlawanan sukan persahabatan, malam akrab, dan lawatan ke titik nol khatulistiwa turut dianjurkan untuk mempereratkan hubungan kedua-dua pasukan,

“Delegasi TUDM juga berkesempatan membuat kunjungan hormat ke Konsulat Malaysia di Pontianak,” ujar TUDM lagi.

Dalam kenyataan yang sama, TUDM berharap dengan kejayaan Latma ELANG MALINDO 29/24 ini, kerjasama strategik antara TUDM dan TNI- AU akan terus diperkukuhkan demi mencapai keselamatan serta kestabilan yang lebih baik di rantau ini.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TUDM #TNIAU #Malaysia #Indonesia

Related Articles

Leave a Reply