KUALA LUMPUR, 16 Sept – Kehilangan bapa tercinta yang terkorban dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 8 tahun lalu, bukan penghalang Perajurit Muda K. Indiran, 20, untuk mencapai impian menjadi seorang anggota tentera.
Malah, tragedi malang yang mengorbankan bapanya Mejar (kini Leftenen Kolonel) C. Kayamboo, menjadi pembakar semangat untuk Indrian bersama 3 lagi adiknya untuk berkhidmat demi negara.
“Saya sebenarnya mahu menyertai TUDM seperti bapa, tetapi tidak cukup kelayakan, jadi saya sertai Tentera Darat Malaysia (TDM). Walaupun lain perkhidmatan, tetapi masih Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
“Walaupun kehilangan ayah, saya tetap kuatkan mental sebab saya merupakan anak sulung, jadi saya kena kuat demi menjaga keluarga saya,” jelasnya kepada Air Times.
Pemuda dari Pulau Pinang itu antara 1,144 Perajurit Muda yang berjaya menamatkan sesi latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 200/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), pada Ahad.
Indiran yang merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik itu juga berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk menjadi seorang pegawai tentera seperti bapanya selain memasang impian menyertai Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Tambahnya, beliau rasa bersyukur kerana ibunya S. Usha, 50, tidak pernah menghalang impiannya untuk menyertai tentera malah sentiasa memberi galakkan agar berkhidmat kepada negara seperti mendiang bapanya.
“Ibu tidak pernah menghalang dan merestui apa yang saya minat kerana bagi ibu ini adalah cita-cita saya dan beliau tidak pernah menghalang,
“Ini masa depan dan kerjaya saya. Sama seperti ayah jadilah seorang perwira,” jelasnya lagi.
Bangga anak ikut jejak mendiang suami
Sementara itu, S. Usha berkata, beliau sekeluarga berbangga dengan anak sulungnya itu yang kini bergelar seorang anggota tentera walaupun pernah melalui pengalaman pahit kehilangan suami tercinta.
“Saya bangga anak sertai ATM, boleh berkhidmat untuk negara. Mendiang bapanya dulu terkorban sewaktu bertugas,
“6 bulan yang dilalui Indiran sangat padat, sebagai ibu sangat sedih. Pada mulanya saya was-was (hasrat Indirian masuk tentera) tetapi saya suka dia jadi tentera yang memang minat dia dari kecil,
“Lepas ayah dia meninggal dunia, dia tidak takut untuk sertai tentera, dia tetap mahu sertai tentera. Saya rasa sangat bangga,” jelasnya.
Ibu tunggal itu berkata, walaupun 8 tahun telah berlalu, kasih sayang suami merupakan pembakar semangat untuk 4 cahaya matanya berjaya.
“Memang sukar terima kehilangan suami ketika sedang membesarkan anak-anak yang masih kecil, syukur keluarga banyak membantu kami menjadi lebih kuat, saya memang galakan anak untuk menjadi tentera seperti bapanya, seorang berprinsip dan berjuang untuk negara,” katanya.
Pada 21 Disember 2016, pesawat angkut jenis Beechcraft King Air 200T yang diterbangkan oleh mendiang Kayamboo dilaporkan terhempas berhampiran Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
Kemudian, pada Februari 2018, mendiang Kayamboo bersama 2 lagi juruterbang lain yang terkorban ketika menjalankan tugas dinaikkan pangkat kepada Leftenan Kolonel di dalam satu majlis di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan.
TUDM menjelaskan, penganugerahan secara posthumous itu merupakan tanda penghargaan kepada ketiga-tiga mereka atas jasa yang dicurahkan kepada pasukan dan negara.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #TDM #PerajuritMuda #PUSASDA #nahaspesawat