Home Semasa Anwar: Malaysia – China bincang isu geopolitik serantau, perluas hubungan perdagangan

Anwar: Malaysia – China bincang isu geopolitik serantau, perluas hubungan perdagangan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Perbincangan mengenai isu geopolitik serantau dan yang terkait dengan kepentingan bersama adalah antara intipati mesyuarat dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan sejawatannya dari China, Li Qiang, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat yang berlangsung selama lebih satu jam itu turut menyentuh potensi kerjasama ASEAN-China di bawah kepengerusian Malaysia pada tahun depan, Dasar Satu China dan situasi di Laut China Selatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan keperluan untuk China memainkan peranan dalam soal krisis kemanusiaan di Myanmar, selain menzahirkan penghargaan di atas sokongan tegas China terhadap Palestin.

“Perbincangan hari ini membincangkan potensi memperluas hubungan perdagangan kedua-dua negara dan ketika ini, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lepas,

“Mesyuarat ini turut menyentuh kemajuan projek antara kedua-dua negara seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi serta beberapa bidang lain yang berpotensi untuk diteroka bersama termasuk kenderaan elektrik, pelancongan, pertanian, ekonomi digital, pendidikan dan teknologi,

“Saya turut mengambil kesempatan untuk menjemput Presiden Xi Jinping untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia secepat mungkin,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di laman media sosialnya, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, beliau dan Qiang juga senada untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan yang terjalin erat antara kedua-dua negara, berlandaskan nilai-nilai yang dikongsi bersama di bawah konsep Madani dan ‘Komuniti Masa Depan Bersama.’

Malah, Perdana Menteri mengalu-alukan lebih banyak perkongsian strategik dan pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia sebagai kesinambungan terhadap prestasi pelaburan tahun lepas yang mana sebanyak 64 pelaburan China bernilai AS$2.6 bilion diluluskan dan membabitkan hampir 10,000 peluang pekerjaan baharu.

Selain itu, Anwar juga menzahirkan penghargaan di atas kunjungan penuh bermakna delegasi China berkenaan ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Qiang tiba malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi 3 hari yang merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lepas. -airtimes.my

#Malaysia #China #DSAI #airtimes #semasa

Related Articles

Leave a Reply