Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik: Bangga anak harumkan nama keluarga, kaum Orang Asli – Bapa

Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik: Bangga anak harumkan nama keluarga, kaum Orang Asli – Bapa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Mei – “Saya bangga dia (anak) telah mengharumkan nama keluarga. Dia mengharumkan nama kaum orang asli dalam bidang ketenteraan yang jarang disertai oleh masyarakat orang asli,” luah Mamat A/L Okeh, 53.

Beliau turut meluahkan rasa bersyukur kerana anak keduanya itu telah membuktikan bahawa pilihan untuk menyertai bidang ketenteraan bukanlah satu yang sia-sia, apabila berjaya merangkul Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik untuk kali ini.

Musyaide A/L Mamat antara 1,498 Perajurit Muda Lelaki yang telah berjaya menamatkan latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 199/2023 dan sekali gus dinobatkan sebagai Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik.

Jelas Mamat, beliau tidak pernah memaksa atau melarang anaknya itu untuk menyertai bidang ketenteraan, malah sentiasa menyokong penuh dengan kehendak anaknya itu.

Mamat A/L Okeh, 53 berasa bangga dengan kejayaan anak keduanya yang dipilih menerima Anugerah Perajurit Muda Ketenteraan Terbaik untuk Siri 199/2023 kali ini. Foto: AirTimes/Pasri

“Kami tidak pernah melarang dan memaksa dia (anak) untuk sertai tentera. Jadi kami bagi dia peluang dan sokong dia untuk memilih kerjaya dia sendiri,

“Kalau ikut pekerjaan saya, saya mahu jadi cikgu. Mungkin dia berminat dalam bidang tentera, jadi dia sertai tentera,

“Saya pernah bagi tahu dia benda ini (tentera) berat, kalau hendak tarik diri, bapak tak kisah. Tapi dia hendak teruskan. Sekarang dia sudah buktikan yang dia mampu buat dan berjaya. Berharap akan lebih baik di masa akan datang,” ujarnya kepada Air Times baru-baru ini.

Sementara itu, Musyaide, 21, berkata, minat terhadap aktiviti lasak sejak di bangku sekolah mendorongnya untuk menyertai alam ketenteraan.

Saya berasa bersyukur dan teruja apabila dipilih sebagai Perajuirt Ketenteraan Terbaik untuk siri kali ini dan berharap dapat meningkatkan prestasi kerjaya saya di masa akan datang – Perajurit Muda Musyaide A/L Mamat. Foto: AirTimes/Pasri

Musyaide menambah, semangat untuk menyertai tentera semakin mendalam apabila melihat pakciknya yang juga seorang anggota tentera.

Beliau yang berkhidmat dalam unit Rejimen Sempadan (RS) turut bercita-cita untuk menjadi seorang penembak tepat (Sniper) dalam pasukan khas Tentera Darat Malaysia (TDM) kelak.

“Dalam banyak-banyak latihan, saya paling berminat ketika latihan menembak. Ketika menggunakan Colt M4 perasaan itu rasa lain sangat,

“Saya minat untuk menjadi seorang Sniper, kalau ada rezeki. Selepas ini saya akan menghadiri kursus-kursus berkaitan senjata yang dianjurkan dan akan berusaha untuk masa akan datang,” jelasnya lagi.

Perbarisan Tamat Latihan Siri 199/2023 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan pada 11 Mei lalu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan menyampaikan anugerah kepada Musyaide A/L Mamat semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 199/2023 di PUSASDA, baru-baru ini. Foto: AirTimes/N.Huda

Majlis tersebut turut diraikan bersama hampir 8,000 ahli keluarga Perajuirt Muda yang membanjiri Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson seawal jam 5 pagi.

Selain Musyaide, Panglima Tentera Darat turut menyampaikan anugerah kepada Perajurit Muda Ranfinddy Mail dari Sipitang, penerima Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik; Perajurit Muda Muhammad Nurul Ikmal Rosli (Perajurit Muda Kawad Terbaik); Perajurit Muda Mohamad Hamzah Mohd Johan (Akademi Terbaik) dan Muhammad Syafiq Mohd Taufek (Jasmani Terbaik). -airtimes.my

#Pusasda #TLPM #TDM #airtimes #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply