Home Semasa Pesawat SIA alami gelora udara teruk, 9 rakyat Malaysia cedera dan seorang kritikal

Pesawat SIA alami gelora udara teruk, 9 rakyat Malaysia cedera dan seorang kritikal

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Sembilan daripada 16 rakyat Malaysia yang menaiki pesawat SQ321 Singapore Airlines (SIA) dalam penerbangan dari London ke Singapura, dilaporkan cedera ketika berdepan gelora udara teruk, semalam.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan, mereka yang cedera termasuk seorang mengalami kecederaan kritikal dan kini berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan serta sedang menunggu laporan perubatan.

Menurut Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital selain menghulurkan bantuan konsular kepada sembilan penumpang terbabit.

“Pada masa ini, 6 rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan 3 lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit. Semua mangsa alami kecederaan fizikal dan dalaman dengan seorang mengalami kecederaan kritikal, tetapi dalam keadaan stabil,

“Mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan,” menurut Wisma Putra itu.

Pesawat SIA Boeing 777-300ER yang membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal dilencongkan ke Bangkok dan terpaksa melakukan pendaratan cemas pada 3.45 petang Selasa (waktu tempatan) selepas menghadapi gelora udara teruk dalam penerbangan dari London ke Singapura semalam.

Seorang penumpang warga United Kingdom berusia 73 tahun meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung, manakala sekurang-kurangnya 30 orang cedera.

Kementerian Luar Negeri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa maut dan mendoakan semua mangsa cedera cepat sembuh.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat), +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]. -airtimes.my

#semasa #penerbangan #Singapura #Malaysia #SIA #airtimes

Related Articles

Leave a Reply