Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut OSTEX West 1/24 peraga 9 aset Armada Barat TLDM di Selat Melaka

OSTEX West 1/24 peraga 9 aset Armada Barat TLDM di Selat Melaka

by Nurulhuda

LUMUT, 21 Mei – Sembilan Kapal Diraja (KD) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbabit dalam latihan Operational Sea Training Exercise (OSTEX) West Siri 1 Tahun 2024 yang berlangsung dari 12 hingga 20 Mei di perairan Selat Melaka.

Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat memaklumkan, OSTEX WEST adalah platform bagi menguji kesiagaan armada TLDM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Menurut MPA Barat, selain menguji kesiagaan aset dan kompetensi warga TLDM, latihan ini juga merupakan satu langkah penting untuk memastikan Armada Barat TLDM sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi, selaras dengan keperluan pertahanan negara.

“OSTEX West juga merupakan platform terbaik Armada Barat bagi mempersiapkan aset dan warganya menghadapi Eksesais KERISMAS iaitu latihan intra TLDM yang akan turut disertai Armada Timur TLDM kelak,” jelas MPA Barat dalam satu kenyataan.

MPA barat menjelaskan, OSTEX West kali ini terbahagi kepada 3 fasa melibatkan Fasa Pelabuhan, iaitu fasa pertama eksesais telah berlangsung dari 12 hingga 14 Mei di Pangkalan TLDM Lumut.

“Seterusnya, sebanyak 9 buah aset permukaan iaitu KD MAHAWANGSA, KD LEKIU, KD SRI INDERA SAKTI, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD MAHAMIRU, KD GEMPITA dan KD KINABALU telah diuji semasa Fasa Laut yang berkonsepkan peperangan maritim di utara perairan Selat Melaka,

“Fasa ini turut dijayakan dengan penglibatan Fast Combat Boat (FCB) selaku aset sokongan dan penyertaan 2 buah pesawat F/A 18 dari No 18 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),

“Pelbagai siri latihan yang memfokuskan peningkatan kompetensi daripada aspek People, Platform and Process (3P) telah dilaksanakan,” jelas kenyataan itu lagi.

Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin di Dewan Tun Rahah, Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3), Langkawi, semalam.

Turut hadir, Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Roslee Isa.

OSTEX West kali ini mendokong matlamat strategik TLDM iaitu keutamaan terhadap kesiagaan armada selain berfungsi sebagai aktiviti ‘show of presence’ di perairan Selat Melaka.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TLDM #MPABarat

Related Articles

Leave a Reply