KUALA LUMPUR, 16 Mei – Dilahirkan sebagai anak seorang pekerja kilang bukan penghalang untuknya berjaya mendapatkan pekerjaan yang tetap dan terbaik untuk keluarga mereka.
Ia terbukti apabila Perajurit Muda Ranfinddy Mail,19 dari Sipatang, Sabah dinobatkan sebagai Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik di Upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 199/2023 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), baru-baru ini.
Perbarisan Tamat Latihan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Menurut Ranfinddy, minat terhadap aktiviti lasak mendorong beliau untuk menyertai bidang ketenteraan.
“Pada awalnya, kakak telah menyerahkan borang untuk memasuki tentera dan saya terus bersetuju kerana minat dengan tentera sejak di bangku sekolah lagi,
“Minat tentera kerana pemakaian anggota tentera yang pada saya sangat segak dan berdisiplin,
“Tentera juga memberi pengalaman seperti masuk hutan dan mempunyai lathan jasmani-jasmani yang saya minat,” ujarnya kepada Air Times.
Sementara itu, Mail Ohoron, 48 meluahkan rasa bersyukur dan berbangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.
Ujarnya, kerjaya sebagai seorang tentera amat mencabar dan berharap anaknya dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya.
“Saya berharap, apabila anak saya sudah masuk unit, beliau lebih bersemangat dalam bidang yang telah dipilih,
“Askar ini memang mencabar tetapi dengan semangat yang kental, saya bersyukur anak saya berjaya menghabiskan latihan sehingga hari ini,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, walaupun berat hati kerana terpaksa berpisah jauh dengan anaknya, beliau tetap mendoakan yang terbaik untuk masa hadapan Ranfinddy.
“Pada awalnya, sukar untuk kami menerima Ranfinddy untuk memasuki tentera dan jauh daripada kami, tetapi fikir untuk masa hadapan dan yang sulung pun duduk di semenanjung bekerja,
“Demi tanggungjawab kerja untuk bangsa, negara dan agama, kami sebagai ibu bapa melepaskan mereka dengan rela hati,” jelasnya lagi. -airtimes.my
#TLPM #airtimes #TDM #Malaysia #pertahanan