Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat RAJD bakal terima aset baharu perkasa kesiagaan askar Jurutera

RAJD bakal terima aset baharu perkasa kesiagaan askar Jurutera

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Apr – Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bakal memperolehi 2 buah Plant Transporter (pengangkut) 30 ton pada tahun ini dalam membangunkan keupayaan dan kesiagaan aset jurutera.

Ketua Jurutera merangkap Pengerusi RAJD, Brigedier Jeneral Ts. Sharuddin Mohd Noh berkata, RAJD turut akan memperolehi sebanyak 10 buah Skid Steer Loader, 5 buah jambatan logistik Support Bridge, 2 buah jambatan taktikal (pontoon) dan sebuah kenderaan persekitaran kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE) Command Vehicle.

Menurutnya, kesemua perolehan aset ini akan ditender dalam pertengahan tahun 2024 dan dijangka akan diterima pada tahun 2025 dan 2026.

“RAJD dalam usaha mendukung pelan pembangunan Army 4NextG agar seiring dengan teras ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat, iaitu agenda pengukuhan keupayaan Tentera Darat, RAJD terus bergerak dalam usaha memperkasakan pasukan-pasukannya melalui kajian semula struktur organisasi secara holistik,

“Proses pemerkasaan ini adalah bagi memastikan pembangunan organisasi RAJD adalah selari dengan rancangan pembangunan Tentera Darat agar mampu beroperasi di 2 Wilayah secara serentak,” katanya.

Ketua Jurutera merangkap Pengerusi RAJD, Brigedier Jeneral Ts. Sharuddin Mohd Noh sedang memeriksa perbarisan tempur sempena Hari Ulangtahun RAJD ke-71 di Padang Kawad Kem Batu Kentonmen, hari ini. Foto: AirTimes/Muaz

Beliau berkata demikian ketika semasa menyampaikan perutusannya sempena Hari Ulangtahun RAJD ke-71 di Padang Kawad Kem Batu Kentonmen, hari ini.

Terdahulu, Sharuddin telah menyaksikan Perbarisan hari Ulang Tahun RAJD pada tahun ini dengan berkonsepkan perbarisan tempur yang mempamerkan keupayaan atur gerak anggota dan aset-aset jurutera.

“Konsep ini didasarkan kepada wawasan RAJD untuk menjadi sebuah kor yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebagai sebahagian daripada ketumbukan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),

“Dalam usaha mendukung Perintah Ulung Panglima Tentera Darat, RAJD telah merangka pembangunan seimbang yang merangkumi sinergi manusia, mesin dan metod, iaitu dirujuk sebagai 3M,

“3 elemen ini merupakan asas kepada pembangunan RAJD untuk menjadi kor yang lebih ampuh, kredibel, seimbang dan mampu menyokong TDM dalam melaksanakan operasi dalam persekitaran pelbagai domain,” ujarnya lagi.

Di dalam memastikan keupayaan dan kesiagaan berada di tahap tertinggi, beliau berkata, RAJD akan sentiasa komited untuk memperkasakan sumber manusianya yang merupakan tulang belakang kepada organisasi itu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Mejar Jeneral Ir Thevendran Cs Maniam, Komander RAJD Medan Barat, Brigedier Jeneral Fazillah Ibrahim serta pesara-pesara RAJD. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #RAJD #askarjurutera #rajd71

Related Articles

Leave a Reply