Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kelewatan kolam selam tempur jejaskan latihan Gerup Gerak Khas

Kelewatan kolam selam tempur jejaskan latihan Gerup Gerak Khas

by Nurulhuda

SIK, 16 Apr – Kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan Gerup Gerak Khas (GGK) dalam menjalani latihan bagi meningkatkan kecekapan pasukan berkenaan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya berharap projek itu dapat dimuktamadkan segera kerana keperluan kolam tersebut amat kritikal kepada GGK.

Beliau berkata, kelewatan pembinaan kolam selam tempur itu telah melebihi 647 hari walaupun proses menyiapkan kemudahan berkenaan hanya berbaki 3 peratus sahaja lagi untuk dilengkapkan.

“Pertama sekali Tentera Darat menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap projek tersebut,

“TDM sebagai pengguna, memang kita (TDM) sentiasa memantau dan perkara ini juga dibangkit pada setiap kali mesyuarat jawatan kuasa pembangunan Tentera Darat yang diadakan setiap bulan dan dipengerusikan Timbalan Panglima Tentera Darat,

“Kita ingin tahu perkembangan projek itu kerana wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) juga hadir ke mesyuarat itu untuk memberi penjelasan,” katanya ketika menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama anggota bertugas di Kem Gubir, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan GGK menitahkan JKR Johor dan Jurutera Daerah Mersing menjelaskan kelewatan pembinaan kolam selam tempur itu yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, JKR diharapkan dapat membantu Tentera Darat untuk menyiapkan segera projek itu untuk digunakan GGK secepat mungkin.

Menurutnya, kali terakhir pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan kolam itu memohon lanjutan masa adalah pada 14 April lalu selain 5 kali dilakukan sebelum ini.

“Projek tersebut di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan dan agensi pelaksana adalah JKR. Saya juga difahamkan sub-kontraktor juga telah dilantik namun mereka turut gagal dan menarik diri daripada menyelamatkan projek tersebut,

“Kita tidak boleh bertindak lebih daripada itu kerana di luar bidang kuasa Tentera Darat melainkan hanya membuat aduan dan sebagainya agar kemudahan ini diberi perhatian serius,” ujarnya lagi.

Pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022 namun, sehingga kini ia masih dalam pembinaan. Foto: Royal Press Office

Sebelum ini majlis pecah tanah pembinaan kolam berkenaan telah disempurnakan pada Mei 2018 oleh Sultan Ibrahim yang pada ketika itu adalah Sultan Johor.

Kolam selam tempur merupakan fasiliti yang amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.

Fasiliti itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti mock up kapal, entry point bagi kemasukan melalui udara, serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi. -airtimes.my

#pertahanan #DaulatTuanku #airtimes #TDM #GerakKhas #GGK

Related Articles

Leave a Reply