Home Semasa Malaysia perbetul hak kewarganegaraan kanak-kanak di luar negara -Anwar

Malaysia perbetul hak kewarganegaraan kanak-kanak di luar negara -Anwar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa isu berkaitan hak kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia sedang ditangani oleh kerajaan.

Beliau berkata Kabinet telah bersetuju untuk membawa usul mengenai pindaan terhadap Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak-hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia ke Parlimen bulan ini.

“Sila ikuti perkembangan di tanah air… soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa. Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Parlimen bulan ini,” katanya ketika menjawab soalan pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Berlin pada Rabu.

Anwar berkata, pindaan terhadap Perlembagaan berhubung perkara itu akan menoktahkan isu tersebut.

“Ketika ini, ibu bapa membawa maksud bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud ibu atau bapa,” kata Perdana Menteri yang kini berada di Jerman dalam rangka lawatan rasmi selama 6 hari.

Selain itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diarahkan untuk memudahcara proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara.

“Saya juga memberi komitmen menerusi SPR untuk meneliti kesukaran rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi pada pilihan raya umum,

“Kita kena mudahkan, antaranya pengundian langsung. Misalnya lebihkan pusat-pusat pengundian, kita ada pejabat MIDA, Matrade,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut berkata, SPR juga perlu mengkaji langkah mewujudkan pendaftaran secara automatik untuk pengundi Malaysia di luar negara sama seperti yang diamalkan di tanah air.-airtimes.my

#semasa #airtimes #DSAI #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply