Home Pertahanan dan Keselamatan Apa yang terjadi kepada kenderaan berperisai MALBATT?

Apa yang terjadi kepada kenderaan berperisai MALBATT?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 MAC – Seperti yang dijangka, persoalan mengenai pelan pelupusan 9 buah kenderaan perisai IAG Guardian 4×4 yang dioperasikan oleh kontinjen pengaman MALBATT di Lubnan tidak dijawab secara lisan pada hari ini.

Pun begitu, pertanyaan tersebut sudah pasti akan dijawab secara bertulis oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ini memandangkan soalan yang dibangkitkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) merupakan soalan ke-57 dalam senarai Aturan Urusan Mesyuarat.

Selain itu, secara purata hanya 8 hingga 9 soalan pertama dijawab secara lisan dalam Dewan Rakyat.

Bagi mereka yang mengikuti sidang Parlimen secara rapat, ianya merupakan bilangan soalan yang lazim dijawab secara lisan dalam Dewan Rakyat. Pun begitu, ini tidak bermakna soalan yang tidak dijawab secara lisan akan dibiarkan tanpa sebarang jawapan.

Berikutan ruang masa yang terhad, soalan-soalan yang tidak dijawab secara lisan akan dikemukakan secara bertulis.

Bezanya, tiada sebarang pencelahan atau soalan tambahan seperti mana yang kerap kita lihat dalam Sesi Soal Jawab Lisan.

Berbalik kepada isu IAG Guardian 4×4, wakil rakyat Tanah Merah meminta Menteri Pertahanan menjelaskan pelan dan status kenderaan tersebut.

“Minta Menteri Pertahanan menyatakan pelan pelupusan 9 buah kenderaan perisai 4 x 4 IAG Guardian yang sebelum ini telah dibekalkan kepada Kontinjen Malbatt di Lubnan pada tahun 2018 namun tidak memenuhi spesifikasi keselamatan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga menyebabkan ia terpaksa digantikan dengan kereta perisai jenis 4 x 4 Panthera dari Turkiye bermula tahun ini,” kata Ikmal.

Isu IAG Guardian tidak menepati piawaian PBB pernah dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2019 (LKAN 2019).

Laporan tersebut mendedahkan negara “terkurang jumlah bayaran balik sebanyak RM2.22juta dari pihak PBB”.

IAG Guardian (kanan) semasa di Lubnan, perhatikan konfigurasi persenjataan di bahagian atas kenderaan.

Perolehan IAG Guardian dan Starstreak

Jelas LKAN 2019, perolehan 9 buah kenderaan tersebut merupakan sebahagian daripada perolehan sistem pertahanan udara aras rendah Starstreak.

“Perolehan secara beli semula (buy back) 9 buah kenderaan berjumlah RM45.10 juta merupakan sebahagian daripada perolehan Starstreak,” kata laporan itu.

Menurutnya, perolehan sistem pertahanan udara tersebut turut merangkumi perolehan sejumlah van Westar Maxus V80.

“Sistem Pertahanan Udara Starstreak merupakan sistem pertahanan udara jarak dekat (bagi menggantikan Sistem Misil Starburst yang telah ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2009,

“Perolehan ini dilaksanakan secara rundingan terus dengan kontrak bernilai RM897 juta. Tempoh kontrak bermula pada 3 Ogos 2015 hingga 30 Jun 2019,

“Antara syarat kontrak perolehan Starstreak, pihak syarikat dikehendaki membeli semula Sistem Misil Starburst yang telah ditamatkan perkhidmatan dengan nilai RM60 juta,

“Kaedah Buy Back (beli semula) melibatkan 9 buah kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) berjumlah RM45.10 juta dengan tempoh kontrak bermula pada 23 Februari 2017 hingga 30 Jun 2019,

“Baki sejumlah RM14.90 juta melibatkan 107 unit Van Westar Maxus V80 dengan tempoh kontrak bermula pada 17 Mei 2017 hingga 30 Jun 2019.

“Kaedah beli semula tidak melibatkan sebarang bayaran kepada Kerajaan,” kata laporan itu.

Perincian perolehan IAG Guardian yang diterbitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2019.

‘Tidak mematuhi standard PBB’

 

LKAN 2019 memperincikan perolehan 9 kenderaan tersebut menelan belanja sebanyak RM43.47 juta. Manakala Latihan Pemanduan dan Penyelenggaraan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) adalah RM 340 ribu dan Penghantaran adalah RM 450 ribu.

Sementara itu, Alat Ganti Awal bagi kesemua kenderaan tersebut adalah RM 830 ribu.

Apa yang menjadi kontroversi adalah spesifikasi kenderaan yang diterima oleh MALBATT tidak memenuhi standard yang ditetapkan oleh PBB.

Menurut LKAN 2019, PBB menetapkan kenderaan tersebut untuk mempunyai sistem persenjataan (armed vehicle).

Malah, pihak audit merumuskan bahawa kesemua 9 kenderaan yang diterima bagi misi pengaman adalah tidak bersenjata (unarmed vehicle).

Pengiraan bayaran balik yang dsemak oleh Laporan Ketua Audit Negara 2019.

“Kenderaan ini tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh PBB iaitu Armed Vehicle,

“Pengiraan Audit mendapati kurangan terimaan bayaran balik sehingga 31 Disember 2019 adalah berjumlah RM2.22 juta bagi sembilan (9) buah kenderaan untuk tempoh 18 bulan.

“Kurangan terimaan ini merupakan ketirisan hasil kepada Kerajaan akibat ketidakpatuhan terhadap spesifikasi yang ditetapkan,” kata laporan itu.

LKAN menyatakan spesifikasi dalam kontrak menyatakan kenderaan yang dibekalkan adalah “mempunyai sistem persenjataan sama ada satu atau lebih yang tidak integral kepada kenderaan (Un-armed APC)”.

Spesifikasi ini sudah tentu bertentangan dengan yang ditetapkan oleh PBB.

LKAN menyatakan 2 perkara lain iaitu keupayaan perisai dan kapasiti krew untuk kesemua kenderaan tersebut memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Dalam laporan yang sama, pihak Kementerian Pertahanan telah memberikan maklum balas yang menyatakan kenderaan ini telah lulus menjalani Ujian Penerimaan Akhir (Final Acceptance Test).

Menurutnya, ujian tersebut dilaksanakan pada 17 Jun hingga 4 Julai 2018.

“Kenderaan ini diperakui untuk digunakan bagi misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL),

“Kenderaan APC ini juga telah melepasi pemeriksaan Contingent Owned Equipment (COE) yang dilaksanakan pada 20 Julai 2018,

“Ketidakpatuhan spesifikasi kenderaan APC seperti ditetapkan PBB hanya dari segi sistem persenjataan yang tidak dilengkapi dengan sistem turret ataupun Remote Control Weapons Station (RCWS),” jelas Kementerian Pertahanan dalam maklum balas mereka.

Menurutnya, kesemua kenderaan ini dilengkapi dengan mesingan kegunaan am (MGKA) 7.62mm pada Commander Cupola (bahagian bumbung kenderaan).

Perbandingan klausa kontrak dan piawaian yang ditetapkan oleh PBB. Sumber: Laporan Ketua Audit Negara 2019

Pihak Audit pula menyatakan walaupun kenderaan tersebut melepasi pemeriksaan COE tetapi ia tetap tidak mematuhi syarat bayaran balik MoU yang ditetapkan.

“Klausa 9 dalam kontrak menyatakan sembilan (9) buah kenderaan APC hendaklah diserahkan kepada Kerajaan di Kontinjen MALBATT 850-5, United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) untuk digunakan dalam misi pengaman,

“Kenderaan yang digunakan di bawah misi pengaman hendaklah mematuhi Memorandum of Understanding (MoU) UNIFIL,

“Oleh itu, setiap kenderaan perlu menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak PBB. Pihak PBB akan membuat reimbursement (bayaran balik) terhadap penggunaan kenderaan ketenteraan Malaysia berdasarkan penilaian dalam MoU,

“Bayaran balik ini tertakluk kepada pemeriksaan Contingent Owned Equipment (COE) yang dijalankan pada setiap 3 bulan,” kata LKAN 2019.

‘Perolehan IAG Guardian’

Menariknya, LKAN 2019 tidak menyatakan secara spesifik model kenderaan perisai mahupun syarikat pengeluar.

Pun begitu, jadual pecahan spesifikasi yang dinyatakan oleh LKAN 2019 sudah menyatakan secara jelas model kenderaan berkenaan.

Air Times sebelum ini melaporkan kontinjen MALBATT telah menerima 9 buah IAG Guardian pada tahun 2018.

Latihan pengendalian aset baharu ini pula dilaksanakan beberapa hari kemudian dan tenaga pengajar bagi kursus ini adalah dari syarikat Global Komited Sdn Bhd.

Perolehan IAG Guardian didedahkan dalam laporan BERNAMA pada tahun 2019 yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Johari Baharum.

Menurut beliau, perolehan 9 kenderaan tempur tersebut adalah bagi kegunaan MALBATT untuk melaksanakan tugas rondaan di Lubnan.

Perolehan IAG Guardian dihasratkan untuk menggantikan peranan Radpanzer Condor.

Panthera merupakan designasi untuk jder Yalcin keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Nurol Makina. Perhatikan RCWS pada bahagian atas kenderaan tersebut. Foto: Tentera Darat Malaysia

‘Ganti baharu’

Walaupun isu IAG Guardian terpalit dengan kontroversi dalam LKAN 2019, usaha penggantian aset-aset usang yang dikendalikan oleh petugas MALBATT di Lubnan tetap diteruskan.

Pada akhir tahun lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyatakan 20 buah kenderaan 4×4 Panthera akan diterima oleh pasukan pengaman negara pada awal tahun 2024.

Selain itu, beliau menyatakan kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi perolehan 50 buah Kenderaan Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle, HMLTV).

Panthera merupakan designasi yang diberikan oleh Tentera Darat Malaysia terhadap kenderaan Ejder Yalcin keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Nurol Makina.

Kenderaan ini dilaporkan akan dilengkapi dengan RCWS keluaran Aselsan,  Stabilised Advanced Remote Weapon Platform (SARP).

Pun begitu, status sama ada IAG Guardian akan dilupuskan mahupun tindakan selanjutnya oleh kerajaan adalah antara perkara yang dinantikan dalam jawapan bertulis oleh Menteri Pertahanan. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Guardian #Panthera

Related Articles

Leave a Reply