Home Pertahanan dan Keselamatan Walaupun berusia 40 tahun, KD LEKIR gagah jalani 2 latihan di India

Walaupun berusia 40 tahun, KD LEKIR gagah jalani 2 latihan di India

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Walaupun usianya menghampiri 40 tahun, kapal korvet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD LEKIR tetap gagah melaksanakan 2 latihan ketenteraan di luar negara.

Kapal korvet kelas Kasturi itu telah menjalani eksesais multilateral peperangan laut di India, Exercise Milan 2024.

Usai latihan tersebut, KD LEKIR melaksanakan Exercise SAMUDRA LAKSAMANA bersama INS KILTAN.

Kedua-dua eksesais tersebut merupakan latihan luar negara yang pertama dijalankan oleh kapal kelas Kasturi semenjak menyertai Rim of the Pacific 2022 (RIMPAC 2022).

Latihan Fasa Laut Eksesais MILAN 2024 melibatkan pelbagai operasi ketenteraan di kawasan maritim. Foto: Armada Barat/TLDM

RIMPAC 2022 merupakan detik bersejarah buat KD LEKIR dan TLDM serta negara kerana diberikan penghormatan untuk melancarkan misil Exocet MM40 semasa fasa SINKEX.

Pun begitu, walaupun Eks MILAN 2024 tidak menyaksikan sebarang penembakan misil seperti dalam RIMPAC 2022, ianya membawa sejarah tersendiri buat KD LEKIR.

Latihan ini pada hakikatnya menyaksikan kehadiran dua kapal induk utama Tentera Laut India (Indian Navy, IN) iaitu INS VIKRANT dan INS VIKRAMADITYA. Selain daripada itu, latihan ini menyaksikan kehadiran kapal tentera laut Amerika Syarikat, Iran dan Rusia – yang merupakan agak berbeza dengan keadaan semasa geopolitik dunia masa kini.

Seperti mana kapal-kapal lain yang menyertai eksesais tersebut, KD LEKIR turut terlibat dalam latihan Fasa Laut (Sea Phase). Fasa ini melibatkan pelbagai operasi peperangan maritim termasuk penembakan meriam, menggempur sasaran udara dan juga misi ulang bekal di lautan.

Eks MILAN 2024 dan Eks SAMUDRA LAKSAMANA merupakan antara platform terbaik untuk tingkatkan pengetahuan serta kemahiran warga kapal KD LEKIR. Foto; Armada Barat/TLDM

Melihat kepada kiriman gambar-gambar yang dikongsikan oleh Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat), warga KD LEKIR telah terlibat secara aktif dalam latihan-latihan yang dilaksanakan.

KD LEKIR tiba di India pada 19 Februari 2024 bagi memulakan latihan dalam Eks Milan 2024. Eksesais multilateral anjuran IN ini berakhir pada 28 Februari 2024.

Walaupun Eks Milan 2024  berakhir, kapal korvet TLDM ini kemudiannya melaksanakan Eks SAMUDRA LAKSAMANA.

Berbeza dengan MILAN 2024, SAMUDRA LAKSAMANA pula merupakan latihan bilateral selama 4 hari antara TLDM dan IN.

Eksesais yang memasuki siri ke-3 ini menyaksikan penglibatan KD LEKIR bersama INS KILTAN.

Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan India, kedua-dua kapal ini melaksanakan pelbagai latihan dalam fasa laut SAMUDRA LAKSAMANA.

“Latihan ini bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan dan daya saling operasi antara kedua-dua pihak,” kata kenyataan itu.

Pelaksanaan kedua-dua latihan ini jelas menunjukkan KD LEKIR masih lagi gagah mengharung samudera dan menjalani latihan bersama di luar negara.

Selesai Eks MILAN 2024, KD LEKIR terus menjalani latihan bilateral Eks SAMUDRA LAKSAMANA bersama dengan INS KILTAN. Foto: Indian Navy

Pun begitu, hakikat usia aset benteng pertahanan perairan negara wajar diberikan perhatian.

Rasanya, tidak perlu Air Times mengulangi pendirian dan pendapat yang pernah disuarakan oleh TLDM serta titah oleh Sultan Selangor berhubung perkara tersebut.

Apa yang pasti, TLDM telah menyuarakan tuntutan dan keperluan mereka semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Melihat kepada situasi yang berlaku dalam perkembangan geopolitik semasa, kita berharap persiapan dan peningkatan keupayaan TLDM masih lagi sempat untuk dilakukan dan begitu juga dengan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia yang lain

Di samping itu, kita berharap tiada sebarang ‘gangguan’ berlaku sebagai mana yang pernah menimpa NGPV dan LCS.

Perlu diingatkan bahawa kelewatan yang berlaku pada kedua-dua kapal kelas ini telah memberikan kesan kepada TLDM yang kian dapat dilihat secara jelas pada mutakhir ini. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM

Related Articles

Leave a Reply