Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Army Red Warrior tonjolkan pelagak ngeri wanita baharu sempena Hari Tentera Darat ke-91

Army Red Warrior tonjolkan pelagak ngeri wanita baharu sempena Hari Tentera Darat ke-91

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=AIrpsPzFqPs[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Army Red Warrior (ARW) akan memperkenalkan pelagak ngeri wanita baharu pada sambutan Hari Tentera Darat ke-91, Jumaat depan.

Bercakap kepada Air Times, Pegawai Pemerintah ARW, Mejar Mohd Shah Rizad Mohd Yusof berkata, anggota wanita berkenaan akan mempamerkan aksi lompatan kenderaan dan ia merupakan kemunculan pertama beliau untuk aksi lagak ngeri dalam pasukan tersebut.

“Jika sebelum ini, kita (ARW) berjaya menonjolkan Staf Sarjan (SSjn) Saidatul Husna Kamaruddin, (pemegang rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) dalam Malaysian Book of Records-MBOR), pada kali ini kami akan membawakan anggota wanita yang baharu. Kita akan tunggu dan lihat persembahan itu nanti, siapakah beliau,

“Beliau akan pamerkan aksi permulaan bagi pelagak ngeri wanita kerana anggota masih baharu. Kita akan uji kemampuannya untuk melakukan persembahan di hadapan limpahan pengunjung pada 1 Mac nanti,

“Anggota tersebut akan mempamerkan aksi lompatan melepasi kenderaan juga, masa itu kita akan melihat sejauh mana beliau dapat mengatasi atau melakukan aksi yang sama seperti SSjn Husna lakukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat, Army Red Warrior (ARW) akan memperkenalkan pelagak ngeri wanita baharu pada persembahan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-91, pada 1 Mac ini – Pegawai Pemerintah ARW, Mejar Mohd Shah Rizad Mohd Yusof. Foto: AirTimes/Muaz

Selain itu, Mohd Shah Rizad berkata, pasukanya juga akan mengundang beberapa ahli terdahulu yang pernah menyertai Wira Merah dalam membuat persembahan pada hari tersebut.

“Untuk persembahan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-91, ARW akan membawa sedikit kelainan, di mana sambutan akan diadakan di Segamat, Johor,

“Jadi kelaianan yang akan kami bawa antaranya dengan menyelitkan elemen-elemen kebudayaan negeri johor itu sendiri,” jelasnya lagi.

Mohd Shah Rizad berkata, secara keseluruhan, ARW yang dahulu dikenali sebagai Wira Merah ini akan mempamerkan sebanyak 20 aksi persembahan dan 5 aksi lagak ngeri Scrambler pada 1 Mac nanti.

Pasukan ARW TD mempamerkan aksi ‘burung merak’ ketika sesi latihan sempena Hari Tentera Darat ke-91 yang akan diadakan di Dataran Segamat pada Jumaat ini. Foto: AirTimes/Muaz

Memasuki detik-detik akhir latihan, beliau berkata, seramai 30 pelagak ngeri lelaki dan 2 pelagak ngeri wanita menunjukkan tahap komitmen serta motivasi tinggi untuk menjayakan persembahan kali ini.

“Jurulatih saya telah menyusun persembahan kali ini mengikut durasi masa yang diberikan. Jadi kami telah memulakan latihan sebulan sebelum kami terlibat dalam sesuatu persembahan,

“Apabila jadual telah disusun, kami akan sentiasa melakukan latihan dan persiapan termasuklah persiapan motosikal, peralatan-peralatan yang akan digunakan termasuklah kecerdasan anggota yang terlibat,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai keperluan perolehan aset-aset baharu, Mohd Shah Rizan berkata, pasukannya akan menyediakan satu kertas kerja cadangan kepada Jabatan Arah Kor Polis Tentera Darat (KPTD) untuk kelulusan.

“Untuk perolehan aset, kami melihat kepada keperluan semasa. sekiranya ada keperluan untuk sesebuah motosikal membuat pembaikkan atau penggantian, saya akan membuat satu kertas kerja untuk dimajukan kepada Jabatan Arah KPTD bagi melihat aset apa yang perlu dibuat pembelian atau penggantian” jelasnya.

Tambahnya, selain anggota pelagak ngeri, pasukan ARW juga menempakan 3 anggota dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD) bagi menentukan dan memastikan keadaan motosikal sentiasa boleh digunakan dengan selamat oleh anggota pelagak ngeri.

Anggota KJLJD sedang memeriksa keadaan motosikal salah seorang dari pelagak ngeri pasukan ARW. Foto: AirTimes/Muaz

“ARW juga menempatkan 3 kali anggota KJLJD bagi menentukan dan memastikan keadaan motosikal sentiasa boleh digunakan sebelum serta selepas persembahan,

“Anggota ini turut akan mengenal pasti apakah alat ganti yang telah rosak dan perlu penukaran,

“Setakat ini kita tidak mempunyai masalah untuk melakukan pelbagai aksi yang melibatkan acara individu atau berkumpulan. Pada kali ini, ARW banyak mempamerkan aksi berkumpulan bagi mempamerkan kesatuan yang ada dalam ARW ini,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap, tim ARW ini berjaya melakukan persembahan tanpa sebarang kemalangan dan mampu memberikan persembahan yang terbaik untuk pengunjung yang hadir nanti.

“Setiap kali tim ARW membuat persembahan, saya berharap, persembahan yang akan dilakukan berjaya dilakukan dengan selamat tanpa ada sebarang kemalangan,

“Selain itu, orang ramai yang menyaksikan berpuas hati dan bergembira menyaksikan persembahan itu nanti,” katanya.-airtimes.my

#TDM #ARW #pertahanan #HariTD91 #airtimes #ATM

Related Articles

Leave a Reply