Home Pertahanan dan Keselamatan Desert Tiger 7: Tentera Darat bertempur di persekitaran iklim padang pasir

Desert Tiger 7: Tentera Darat bertempur di persekitaran iklim padang pasir

by M.Daim

ABU DHABI, 25 FEB – Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) dan United Arab Emirates Land Forces (UAELF) telah selesai melaksanakan latihan ketenteraan bersama Desert Tiger 7.

Eksesais bilateral ini merupakan antara latihan bersama yang telah diadakan di antara Malaysia dan UAE.

Komander UAELF, Mejar Jeneral Yousuf Mayouf Al-Halami dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim hadir menyaksikan upacara penutupan eksesais pada 23 Februari lalu.

Kementerian Pertahanan UAE dalam satu kenyataan berkata, latihan bersama ini adalah medan pertukaran pengalaman di samping meningkatkan kesiagaan kedua-dua pasukan tentera.

“Eksesais ini melibatkan sejumlah aktiviti termasuk latihan ketenteraan dan juga latihan bersama,

“Desert Tiger 7 adalah bermatlamat untuk mempertingkatkan keupayaan pasukan tentera dan juga menggambarkan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Panglima Tentera DaratLeftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim hadir menyaksikan upacara penutupan eksesais pada 23 Februari lalu.

Melihat kepada siaran video yang diterbitkan oleh UAE, latihan ini dilihat memberikan penekanan kepada operasi di kawasan terbina (OBUA).

Eksesais pada kali ini melibatkan Batalion ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize).

Latihan bersama ini telah dilaksanakan semenjak 7 Februari lalu di Kem Saih Al-Bana, Ras Al-Khaimah, UAE.

Eksesais Desert Tiger kali pertama diadakan pada tahun 2014. Latihan tersebut telah diadakan secara tahunan sehingga tahun 2018. Selepas terhenti untuk beberapa tahun, Desert Tiger di antara Malaysia-UAE sekali lagi diadakan pada tahun lalu dengan melibatkan elemen 10 Briged (Para).

Latihan di kawasan padang pasir bukanlah sesuatu baharu untuk Tentera Darat Malaysia kerana mereka pernah menyertai latihan besar-besaran Northern Thunder pada tahun 2016. Latihan bersama yang dianjurkan oleh Arab Saudi pada ketika itu melibatkan 20 buah negara.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut dijemput untuk menyertai Eksesais Gulf Shield pada 2018.

Eks Jungle Falcon merupakan latihan bilateral Tentera Darat Malaysia dan UAELF dalam melaksanakan operasi mekanize. Foto; Air Times/ M Daim

Latihan dalam iklim sebegini sedikit sebanyak memberikan pendedahan kepada Tentera Darat Malaysia dalam melaksanakan operasi di persekitaran gurun. Tambahan pula, ATM pernah dan juga pada ketika ini terlibat dalam operasi pengaman di kawasan iklim yang sama.

Kerjasama pertahanan ini merupakan antara hasil hubungan diplomatik antara UAE-Malaysia yang telah terjalin semenjak era 1970-an. Hubungan kedua-dua negara telah dipertingkatkan kepada peringkat Kerjasama Strategik pada tahun 2022.

Pada tahun lalu, Tentera Darat Malaysia dan UAELF kali pertama melaksanakan latihan bersama di kawasan iklim tropika. Eks Jungle Falcon yang diadakan pada Julai tahun lalu menyaksikan latihan peperangan konvesional dari segi operasi mekanize. – airtimes.my

#TenteraDarat #UAELF #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply