JOHOR BAHRU, 9 Feb – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang, Kota Tinggi pada Khamis.
Tunku Mahkota Ismail yang juga selaku Pegawai Memerintah Askar Timbalan Setia Negeri Johor dipersembahkan dengan Demonstrasi Prosedur Tangkapan Pendatang Asing dalam sesi lawatan itu.
“Keberangkatan baginda adalah susulan kejayaan cemerlang pelaksanaan Operasi Bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan di negeri Johor dalam OP MERPATI 1,
“Operasi berkenaan berjaya menahan 24 tekong iaitu 13 tekong darat dan 11 tekong laut serta 1,108 orang pendatang asing dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2.6 juta,” menurut hantaran di laman Facebook Pemangku Sultan Johor, semalam.
Jelas hantaran itu, di bawah kepimpinan baginda, kerjasama erat khususnya antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Johor dengan Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) membuahkan kejayaan cemerlang sekali gus dapat membanteras kemasukan pendatang asing ke negara ini terutamanya di Johor.
Turut hadir Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani dan Panglima 7 Bgd, Brigadier Jeneral Mohamad Suria Mohamad Saad. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Johor