Home SemasaOperasi buru tahanan lolos di Bidor pamer keberkesanan Keselamatan Menyeluruh

Operasi buru tahanan lolos di Bidor pamer keberkesanan Keselamatan Menyeluruh

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

TAPAH, 5 Feb – Insiden pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor di Tapah, Perak pada Khamis lalu menunjukkan bagaimana para tahanan sentiasa mencari helah untuk melarikan diri.

Kesemua 131 PATI dipercayai merusuh sebelum bertindak memecahkan pagar serta kawad duri di sekeliling kawasan depoh untuk melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan.

Ketika ini baki 79 PATI masih diburu dalam gerakan mencari besar-besaran yang dijalankan oleh polis termasuk batalion Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Imigresen dan RELA.

Operasi pencarian juga membabitkan 7 sekatan jalan raya di seluruh kawasan daerah Tapah, Muallim dan Kampar.

Apa yang mencuri tumpuan, insiden tahanan PATI lolos ini juga telah menyaksikan implementasi doktrin Keselamatan Menyeluruh atau ‘Comprehensive Securit’y’ (COMSEC) oleh masyarakat setempat.

COMSEC yang diperkenalkan 2 tahun lalu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah suatu doktrin baharu bagi menggantikan konsep Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH.

Ia yang menggabungkan elemen keselamatan dalam negeri, pertahanan, ketenteraman awam, politik, ekonomi, sosial, kesihatan awam serta alam sekitar.

Secara tidak langsung, ini memberi ruang yang luas kepada segenap lapisan masyarakat untuk menyumbang khidmat bakti dan bersama-sama memainkan peranan atas kepentingan negara.

Walaupun dalam insiden ini ia bukanlah melibatkan peperangan, tetapi kesedaran masyarakat setempat di Bidor untuk membantu penangkapan PATI terbukti.

Pada 2 Februari misalnya, beberapa penduduk kampung diketuai seorang pesara pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu polis menangkap 4 PATI yang bersembunyi.

Mereka dikesan menyorok di dalam hutan berhampiran penempatan Orang Asli Kampung Sanding di Bidor.

Ketika ditemui pada jarak 15 kilometer dari Depot Imigresen Sementara Bidor, kesemua PATI dalam keadaan lemah dan kelaparan.

Pesara bomba itu, Mohamad Yunus Abu pernah menjawat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Perak.

Sehari kemudian, 3 lagi ditangkap penduduk termasuk 2 selepas solat subuh di Masjid Batu Melintang sebelum diserahkan kepada polis.

Seorang lagi ditahan di Kampung Orang Asli Sementa.

Manakala kelmarin (4 Februari), 13 tahanan ditangkap di ladang sawit Kampung Senta Bidor hasil maklumat awam. Difahamkan maklumat kehadiran PATI ini telah disampaikan oleh pekerja warga asing di ladang itu.

Sejak kejadian tersebut, pihak berkuasa giat menjalankan rondaan termasuk memaklumkan kepada pekerja-pekerja ladang warga asing untuk membantu sekiranya terlihat PATI yang bersembunyi.

Pada hari sama juga seorang lelaki Rohingya ditahan polis di Kampung Bermin setelah masuk ke kampung itu untuk meminta makanan.

COMSEC memerlukan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama-sama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif.

Apa yang dipamerkan di Bidor menunjukkan komuniti menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan dalam usaha memberkas semula tahanan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply