Home Pertahanan dan Keselamatan Nahas trak tentera: Tiada keperluan ganti trak Tentera Darat – Khaled

Nahas trak tentera: Tiada keperluan ganti trak Tentera Darat – Khaled

A+A-
Reset

KOTA TINGGI, 4 Feb – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada keperluan untuk menggantikan trak Tentera Darat Malaysia (TDM) susulan kemalangan yang mengakibatkan 3 anggota terkorban di Gurun, Kedah, Jumaat lalu.

Beliau menjelaskan, semua aset TDM dalam keadaan baik dan siasatan awal mendapati kemalangan itu bukan berpunca daripada kerosakan aset berkenaan.

Menurutnya, menerusi siasatan awal pihak berkuasa, kemalangan maut itu berpunca daripada rempuhan dari belakang sebuah lori terhadap trak TDM.

“Trak TDM tidak ada isu dan masalah. Trak itu dilanggar daripada belakang, bukan disebabkan isu aset yang sudah lama dan perlu diganti,

“Namun kita perlu siasatan menyeluruh dan saya tidak mahu buat kesimpulan awal,

“Ketiga-tiga trak itu dalam perjalanan untuk ambil anggota tentera daripada operasi dan mereka berkonvoi sebelum dilanggar dari belakang menyebabkan trak ketiga melanggar trak kedua,” katanya seperti dilapor media.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.

Jumaat lalu, 3 pemandu trak ATM dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 7.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara di Gurun.

Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga anggota tentera terbabit memberhentikan trak masing-masing di laluan kecemasan selepas salah sebuah trak terbabit mengalami kerosakan.

TDM dalam kenyataan pada Jumaat berkata satu Lembaga Siasatan Dalaman akan ditubuhkan bagi menyiasat kes kemalangan itu, dan menggesa agar gambar-gambar mereka yang terlibat tidak disebarkan bagi menghormati mangsa dan pihak keluarga.

Kenyataan itu mengesahkan bahawa 3 anggota yang maut dalam kemalangan di Kilometer 75 Lebuh Raya Utara Selatan pada pukul 10.45 pagi tadi terdiri daripada Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menyampaikan ucapan takziah terhadap tiga keluarga anggota ATM yang terkorban itu.-airtimes.my

#TDM #airtimes #pertahanan #kemalangan #maut

Leave a Reply