PAHANG, 4 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) terus komited melaksanakan Operasi Murni (Op Murni) pasca banjir di sekitar kawasan Maran.
Pihak 12 RAMD (Mek) memaklumkan, Program Jiwa Murni (PJM) ini adalah hasil kerjasama dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Pertahanan Awam (APM) dan juga penduduk Kampung Baru Pertanian yang telah berganding bahu untuk membersihkan rumah mangsa banjir.
“Kerja-kerja pembersihan ini telah dilaksanakan terutama dibahagian dalam rumah yang dinaiki air dan lumpur akibat banjir,
“Program Pasca Banjir ini juga melibatkan rumah warga emas dan ibu tunggal yang telah terjejas banjir. Pelaksanaan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir dan mencerminkan keprihatinan organisasi, jelas 12 RAMD (Mek) menerusi hantaran di media sosialnya.
Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Maran yang sebelum ini menempatkan 7 mangsa daripada 2 keluarga, ditutup semalam.
Sehingga 1 Januari lalu, jumlah mangsa banjir di Pahang mencatatkan seramai 34 orang yang berlindung di 2 PPS di Maran, manakala 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal berada di sebuah PPS.
Sejak awal Disember lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengaturgerakan pasukan-pasukan yang terlibat dalam gerak kerja Op Murni terutamanya di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) telah menggerakkan aset dan anggota dari pasukan Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD); Rejimen 512 Askar Wataniah; Batalion Kelapan Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD Para), Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize (4 Briged Mekanize) dan Rejimen Kelima Artileri Diraja 5 RAD) di Terengganu serta Kelantan. -airtimes.my
#pertahanan #OpMurni #banjir #ATM #TDM #airtimes
