KLANG, 24 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah kes COVID-19 akan berkurang pada bulan hadapan, berdasarkan data yang diperoleh kementerian itu ketika ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi COVID-19 ketika ini dipantau berdasarkan 4 kriteria iaitu jumlah kes jangkitan, kes kematian dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) serta beban yang dihadapi oleh fasiliti kesihatan terutamanya hospital.
“Insya-Allah, pada Januari ini ia (jangkitan) akan turun, sama-sama kita doakan,” katanya seperti di lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada Ahad.
Semalam, Dzulkefly memaklumkan kes COVID-19 bagi Minggu Epidemiologi ke-51 iaitu bagi tempoh 17 hingga 22 Dis meningkat sebanyak 29.5 peratus kepada kepada 22,413 kes berbanding 17,307 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.
Menurut Dzulkefly tindakan diambil oleh KKM pada masa ini adalah wajar mengikut keperluan serta bersistematik dan bukan sahaja melihat kepada jumlah kenaikan kes semata-mata.
“Ada yang marah kerana tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka, tetapi saya tidak akan terpengaruh dengan pendekatan emosi dan apa yang saya lakukan adalah berdasarkan bukti yang tertakluk kepada sistem amaran awal dan itu akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata seandainya berlaku perubahan besar dan drastik, KKM akan merujuk kepada empat kriteria yang ditetapkan itu. -airtimes.my
#semasa #COVID19 #Malaysia #airtimes
