Home Semasa 20,000 peserta dijangka hadir Himpunan Malaysia Bersama Palestin – Penganjur

20,000 peserta dijangka hadir Himpunan Malaysia Bersama Palestin – Penganjur

by Bernama

KUALA LUMPUR, 24 OKT – Seramai 20,000 orang dijangka menyertai Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Faizal Abdul Aziz berkata, perhimpunan itu dijadualkan bermula dengan solat Maghrib disusuli solat hajat yang dipimpin imam dan qari dari Palestin Shaykh Rami As-Sousi.

“Turut menjadi fokus perhimpunan ialah ucapan komitmen pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang mewakili rakyat Malaysia yang konsisten bersama perjuangan rakyat Palestin, manakala acara kemuncaknya sudah pasti ucapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perhimpunan dikekolakan ABIM dan Global Peace Malaysia (GPM) selaku penganjur utama itu, dijangka bermula pada 7.30 hingga 10.30 malam dan turut melibatkan lebih 40 NGO seperti Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin! – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Kami harapkan perjuangan membela rakyat Palestin berterusan kerana bagi ABIM, himpunan yang dianjurkan ini bukan penamat, tetapi sebagai satu nafas baharu untuk rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terus memperjuang hak rakyat Palestin.

“Harapan kami agar perjuangan ini turut sama disambut oleh generasi akan datang agar penjajahan Zionis Israel berakhir di Palestin,” katanya yang memaklumkan ABIM sudah menghantar tiga memorandum kepada pihak berkaitan bagi menyatakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap kezaliman Zionis Israel.

Sementara itu, Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, program malam ini bukan sahaja untuk mempamerkan sokongan jitu rakyat Malaysia kepada penduduk Palestin, tetapi juga untuk mendidik orang ramai mengenai sejarah dan perkembangan konflik yang melanda negara Timur Tengah itu.

“Orang ramai boleh datang dan mendengar ucapan mengenai apa sebenarnya yang berlaku di Palestin. Ini adalah peluang yang baik untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh berhubung isu ini.. isu ini bukan semata-mata atas perjuangan agama, tetapi ia juga melibatkan isu berkaitan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata, peserta digalakkan memakai baju berwarna putih serta mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti Malaysia kepada Palestin.

“Saya juga menasihatkan orang ramai yang ingin menyertai himpunan ini untuk datang awal kerana pintu stadium akan dibuka pada jam 6.30 petang,” katanya dan menambah trak makanan turut disediakan, selain persembahan oleh artis terkemuka antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir. – Bernama

#semasa #airtimes #Malaysia #Palestin

Related Articles

Leave a Reply