Home Semasa Malaysia gesa konflik Gaza, rampasan hak dan tanah Palestin dihentikan segera

Malaysia gesa konflik Gaza, rampasan hak dan tanah Palestin dihentikan segera

by Bernama

KUALA LUMPUR, 19 OKT – Malaysia menggesa konflik Palestin-Israel di Gaza serta tindakan menyahkan hak dan tanah rakyat Palestin dihentikan pada kadar segera.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), masyarakat antarabangsa dan negara-negara yang berpengaruh perlu mencari penyelesaian ke arah ini.

“Saya juga telah menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong pembukaan laluan kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.”

Zambry berkata demikian semasa menyampaikan kenyataan negara dalam Mesyuarat Luar Biasa Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi pada Rabu, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Khamis.

Mesyuarat itu juga telah menerima pakai satu dokumen hasil yang mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel terhadap Palestin.

Dokumen ini juga menggesa agar pencerobohan Israel dihentikan serta-merta, pengepungan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza oleh Israel ditamatkan dan menyeru negara-negara dan masyarakat antarabangsa untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin.

Malaysia juga turut mengecam secara serius insiden pengeboman Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Utara Gaza, sehingga menyebabkan banyak kematian termasuk wanita dan kanak- kanak serta orang awam yang tidak bersalah.

“Perbuatan kejam ini jelas sekali bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa. Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia terus komited dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam mana-mana usaha antarabangsa bagi mengumpul dan menghulurkan bantuan kemanusiaan secepat mungkin kepada rakyat Palestin.

 “Malaysia juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mencari kaedah terbaik untuk menghentikan kon§ik yang berlaku dan mencari penyelesaian masa kini dan masa hadapan rakyat Palestin agar lebih aman dan selamat,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, pada Rabu, kenyataan akhir yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa Jawatankuasa Eksekutif OIC peringkat menteri luar negeri juga menekankan peranan penting komuniti global dalam menghalang pengusiran rakyat Palestin dari tanahair mereka.

Kenyataan itu juga menekankan keperluan segera menangani krisis pelarian Palestin dan keperluan untuk penyelesaian menyeluruh terhadap konflik sejajar dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Damai Arab. – BERNAMA

#Malaysia #Palestin #Gaza #OIC

Related Articles

Leave a Reply