Home Pertahanan dan Keselamatan Projek pembinaan kapal LCS, umpama ‘tikus membaiki labu’ – Ikmal Hisham

Projek pembinaan kapal LCS, umpama ‘tikus membaiki labu’ – Ikmal Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 OKT – Pihak pembangkang menyifatkan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships, LCS) oleh kerajaan ibarat tikus membaiki labu.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, tindakan kerajaan mempercayai dan menerima bulat-bulat syor diberi Boustead Naval Shipyard (BNS) yang terbukti gagal menyelesaikan masalah pembinaan tersebut adalah sesuatu yang sia-sia.

Jelasnya, dalam keadaan berlaku pertambahan kos RM2.1 bilion dan jumlah kapal dikurangkan kepada 5 unit, syarikat sama tetap diberi kepercayaan menyelesaikan masalah yang dicipta mereka sendiri,

“Pertambahan kos peruntukan ini disandar ke atas alasan tidak rasional dan tidak masuk akal. Inilah sebenarnya strategi syarikat BNS sejak mula lagi iaitu supaya kerajaan menambah peruntukan bagi menyelesaikan masalah wang yang sudah tiris berjumlah RM1.4 bilion,

“Ini sebagaimana yang dilapor oleh Laporan Audit dan Laporan Audit forensik Syarikat Alliance IFA ke atas pelan perniagaan Syarikat BNS yang bersifat samar-samar,

“Tindakan mempercayai dan menerima bulat-bulat syor yang diberikan diberi BNS tak ubah seperti peribahasa tikus membaiki labu,” katanya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati Kementerian Pertahanan (MINDEF) supaya berhati-hati mendengar cadangan dan syor daripada pihak-pihak berkepentingan terutama kontraktor BNS yang terbukti gagal menyiapkan 6 kapal sejak 2019.

“Kerajaan sepatutnya lebih cenderung mendengar pandangan TLDM selaku pengguna akhir kerana kesan buruk kegagalan projek LCS ini telah mengakibatkan kelompongan keupayaan TLDM yang serius bagi menghadapi cabaran operasi kawalan keselamatan maritim negara,

“Hakikatnya, skandal kapal LCS ini telah menjejaskan barisan hadapan pertahanan utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),

“Tambahan lagi kita sedang berdepan dengan cabaran keselamatan di Laut China Selatan, namun, malangnya sehingga hari ini kita tidak cakna terhadap keperluan mendesak dan kritikal TLDM membantu mereka untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka,” ujarnya lagi.

Ikmal Hisham menambah, lebih malang apabila kerajaan lebih memilih mendengar syor dan pandangan syarikat yang telah gagal sejak tahun 2019.

“Lebih buruk lagi, tiada tindakan diambil ke atas penyelewengan dan salah guna kuasa dan pengkhianatan terhadap keupayaan TLDM untuk mempertahan kedaulatan negara,” tegasnya.

Awal Oktober lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporan prosiding berhubung kemajuan projek pembinaan LCS milik TLDM bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 memaklumkan, kelima-lima kapal LCS hanya akan siap pada 2029.

Bagi tujuan itu, kos tambahan kos RM2.098 bilion diperlukan, kepada kos asal RM9.128 bilion.-airtimes.my

#LCS #TLDM #Mindef #airtimes #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply